PERSIAPAN akhir sumbangan barangan keperluan daripada Felda sebelum agihan dibuat di Felda Bersia dengan bantuan JKM dan APM.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Feb. - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah memperuntukkan RM60,000 sebagai bantuan segera kepada warganya yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Bantuan itu melibatkan 1,181 keluarga peneroka, generasi baharu, petugas rancangan, anggota polis, petugas kesihatan dan juga guru di tiga kawasan rancangan iaitu Felda Bersia dan Felda Lasah di Perak serta Felda Tersat di Terengganu.
Felda dalam sebuah kenyataan memberitahu, penyampaian sumbangan yang berupa barangan keperluan bernilai RM50 bagi setiap keluarga telah dilaksanakan pada 4 Februari 2021 untuk peneroka di Felda Bersia dan akan diteruskan dalam masa terdekat bagi Felda Lasah dan Felda Tersat.
Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang mewakili Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP), Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, inisiatif itu diharapkan dapat membantu mereka yang terlibat menempuh waktu mencabar ini.
“Ini memandangkan tiada sebarang aktiviti ekonomi dibenarkan dan semoga semua yang terlibat akan segera sembuh,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Pengumuman PKPD di kawasan-kawasan rancangan itu telah dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 3 Februari hingga 16 Februari bagi Felda Bersia, manakala Felda Lasah dan Felda Tersat bermula pada 4 Februari sehingga 17 Februari.
Menurut Felda dalam kenyataan sama, penyampaian juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pengurusan Felda dan JKPP sentiasa cakna dan prihatin dengan perkembangan semasa di ketiga-ketiga rancangan ini melalui laporan secara harian oleh pengurusan wilayah dan rancangan Felda yang terlibat.
“Pengurusan Felda menyeru semua warga Felda untuk terus mematuhi SOP supaya virus COVID-19 tidak terus merebak.
“Pengurusan Felda dan JKPP turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota keselamatan daripada APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Anggota RELA serta petugas-petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan serta JKM yang menyumbang tenaga dalam memastikan keselamatan dan kesihatan warga Felda di kawasan PKPD,” tambah Felda. - DagangNews.com