RMKe-12 penting untuk pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content

RMKe-12 penting untuk pemulihan ekonomi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. -  Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) disifatkan sebagai satu pelan yang penting bagi meyakinkan para pelabur bahawa negara berada di landasan yang betul bukan sahaja untuk pemulihan ekonomi malah untuk menjana pertumbuhan selepas mengalami krisis pandemik terburuk setakat ini.

Public Investment Bank berkata, RMKe-12 itu juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadi peneraju digital pada akhir tahun 2025 seiring dengan sasaran Malaysia untuk menerajui industri kandungan digital dan keselamatan siber serantau pada 2030.

"Cabaran-cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19 telah secara tidak langsung membuka peluang bagi membuat pembaharuan .

"Pelan ini juga akan meletakkan negara di landasan pemulihan yang betul tanpa membelakangkan perkara-perkara penting seperti kesamarataan, konsolidasi, pembangunan mampan dan ekonomi hijau," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Tambahnya, adalah penting untuk kerajaan memberikan tumpuan kepada penyatuan fiskal.

"RMK-12 juga akan melancarkan pelbagai inisiatif pro-pertumbuhan seperti memajukan ekonomi hijau dan memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global yang akan menjadi perubahan permainan dalam usaha ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025," katanya.

Dalam pada itu ia berkata, RMKe-12 lebih banyak ke arah pembangunan sosioekonomi untuk kelestarian jangka panjang dan kemakmuran, jika dibandingkan dengan edisi sebelumnya.

"Maka reaksi pasaran langsung diharapkan lebih tenang," ujarnya. -DagangNews.com