Rugi bersih Grand Central Enterprise meningkat kepada RM1.63 juta pada 2QFY23 akibat peningkatan kos operasi | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Grand Central Enterprise meningkat kepada RM1.63 juta pada 2QFY23 akibat peningkatan kos operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Grand Central Enterprise Berhad mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar sebanyak RM1.63 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM1.06 juta bagi suku sama pada tahun lalu.

 

Syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam perniagaan hotel di Malaysia itu bagaimanapun merekodkan pendapatan yang lebih tinggi pada suku tersebut sebanyak RM5.9 juta hasil daripada kadar penghunian bilik hotel dan kadar purata keseluruhan yang lebih baik berbanding 2QFY22.

 

"Bagaimanapun, pendapatan itu telah diimbangi oleh peningkatan dalam kerja-kerja penyelenggaraan, kos utiliti dan tenaga kerja yang lebih tinggi mengakibatkan kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun lalu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi tempoh 6MFY23, kumpulan itu mencatatkan kerugian terkeumpul sebanyak RM3.56 juta dengan pendapatan sebanyak RM11.5 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM2.67 juta pada 6MFY22 dengan pendapatan sebanyak RM10.35 juta.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, industri pelancongan bertambah baik selepas sempadan antarabangsa dibuka.

 

Menurut Bloomberg, Malaysia menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong asing 60% lebih tinggi pada 2023 berbanding tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, kekurangan pekerja, kesukaran dalam pengambilan, peningkatan kos operasi (terutamanya kenaikan tarif elektrik) dan persaingan sengit dari negara jiran kekal sebagai cabaran utama.

 

"Barisan pengarah menjangkakan prestasi kumpulan untuk suku seterusnya akan terus mencabar," katanya. - DagangNews.com