Rundingan antara telco dan DNB kemungkinan dilanjutkan - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Rundingan antara telco dan DNB kemungkinan dilanjutkan - CGS CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor telekomunikasi buat masa ini, selagi rundingan antara syarikat telekomunikasi (telco) dan Digital Nasional Bhd. belum menemui sebarang kata putus. 

 

Menurut firma itu, prestasi harga saham telco mungkin kurang memberangsangkan secara berterusan kerana pelabur akan bimbang tentang kemungkinan hasil yang negatif daripada rundingan mengenai penjualan ekuiti dan perjanjian akses borong. 

 

"Tarikh akhir yang diberikan Kementerian Kewangan sebelum ini adalah pada akhir Jun, tetapi melihat kepada kerumitan isu ini, kami berpendapat, kemungkinan terdapat risiko ia dilanjutkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada 26 Mei lalu menegaskan tarikh akhir itu kekal kerana kerajaan tidak boleh terus tawar-menawar yang akan mengakibatkan DNB sukar melangkah ke hadapan dan berhadapan tekanan untuk memastikan ia mampu untuk melaksanakannya dalam rangka masa ditetapkan.

 

Beliau juga memberitahu, kerajaan belum lagi membuat keputusan ke atas cadangan 4 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia yang mahu memiliki saham majoriti (51%) dalam DNB.

 

Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco

 

Pada Mac lalu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN), dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telco memegang ekuiti dalam DNB sehingga 70%.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB lebih menyukai segmen tetap berbanding mudah alih kerana prospek pertumbuhan hasil yang lebih baik, persaingan yang lebih mesra dan kurang risiko pengawalseliaan.

 

Mengulas mengenai prestasi sektor telekomunikasi pada suku pertama 2022, firma itu mendapati hasil bagi perkhidmatan mudah alih susut 1.1% suku ke suku terutamanya disebabkan musim yang lebih lemah dan persaingan yang sengit.

 

"Bahagian pasaran hasil (RMS) Maxis Bhd. meningkat 0.7% suku ke suku kepada 38.5%, menghalang peningkatan beransur-ansur dalam RMS Celcom Axiata Bhd. sepanjang 6 suku yang lalu," katanya.

 

Sementara itu, tambahnya, perniagaan talian tetap menyaksikan hasil Telekom Malaysia Bhd. (TM) meningkat 2.9% tahun ke tahun, tetapi susut 8.3% suku ke suku.

 

Setakat ini, ia memberi saranan 'pegang' terhadap Maxis dengan harga sasaran (TP) pada RM3.90 manakala TP dengan saranan 'tambah' TP RM6.75 sesaham.- DagangNews.com