Sahabat Usahawan AIM bangkit selepas pendapatan terjejas ekoran pandemik | DagangNews Skip to main content

Sahabat Usahawan AIM bangkit selepas pendapatan terjejas ekoran pandemik

Hayati Mat Zin bersama produk keropok ikan yang dijual di premisnya di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA TERENGGANU 11 Nov - Pandemik COVID-19 yang melanda negara memberi kesan kepada ekonomi masyarakat susulan ramai terjejas pendapatan mereka hingga ada yang terpaksa mengubah haluan bagi mencari sumber pendapatan.

 

Itu juga situasi getir yang terpaksa ditempuhi Hayati Mat Zin, 54, selepas perniagaan buah-buahn yang diusahakan lebih 20 tahun berdepan masalah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Dek kerana itu, Hayati mula berjinak-jinak dalam perniagaan keropok lekor secara kecil-kecilan di rumahnya sebelum berjaya membuka sebuah kedai di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu hampir setahun yang lalu.

 

Siapa sangka, bermula hanya suka-suka untuk mencuba selepas melalui dugaan getir di sebalik pandemik, ia akhirnya  membawa sinar kepada peniaga ini selepas keropok lekor yang dihasilkannya mendapat permintaan yang tinggi.

 

Menurut Hayati, meskipun produk keropok amat sinonim dengan Terengganu, namun untuk menghasilkannya tidak mudah seperti yang disangka serta menepati selera orang ramai.

 

Ibu kepada 10 cahaya mata ini  berkata, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk menghasilkan keropok lekor terbaik dan tidak segan mendapatkan ilmu pengetahuan daripada kawan-kawan.

 

"Perniagaan  buah memang sebati dalam diri saya namun ketika pandemik  melanda, ia telah mengubah segalanya apatah lagi buah-buahan ini tidak mampu bertahan dalam tempoh yang lama.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

"Jadi saya bincang dengan keluarga sebelum mereka mencadangkan untuk meneroka bidang perniagaan keropok lekor ini dan saya cuba membuatnya daripada rumah. Pada mulanya  bagi kawan-kawan dan jiran rasa, namun hasilnya tidak  memuaskan  dan saya hampir berputus asa meneruskannya apatah lagi untuk menjualnya," katanya.

 

Menurut Hayati,  dengan dorongan anak-anak dan keluarga, dia cekal untuk meneruskannya sehingga berjaya menghasilkan produk yang terbaik ini sebelum memasarkan di Pasar Payang.

 

Hari ini, dia kembali bangkit dan dapat menarik nafas lega di mana setiap hari lebih 3,000 batang kerepok lekornya habis terjual.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

Jelas Hayati, adunan yang sebati bersama isi ikan yang banyak serta lembut membangkitkan keistimewaan keropok itu sehingga sering mendapat permintaan yang luar biasa.

 

Selain keropok lekor original, beliau turut menghasilkan keropok 'cheese' dan juga 'crispy' yang kini memiliki seramai 12 pekerja untuk menghasilkan produk tersebut.

 

Beliau turut berterima kasih dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang memberikan pinjaman sehingga mampu meneroka dan mengembangkan pernigaan yang baharu diceburinya itu. - DagangNews.com