Saham Aurelius Technologies catat RM1.41 ketika dilancar di Papan Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham Aurelius Technologies catat RM1.41 ketika dilancar di Papan Utama Bursa Malaysia

Dari kiri, Loh Hock Chiang, Lee Chong Yeow, Datin Normaliza Kairon dan Dato’ Fad’l Mohamed pada majlis pelancaran saham ATech di Bursa Malaysia, 16 Disember 2021.
 

 


KUALA LUMPUR 16 Dis – Aurelius Technologies Berhad (ATech) penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk produk-produk perindustrian elektronik, telah dengan jayanya disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada RM1.41 sesaham, atau RM0.05 lebih tinggi daripada harga tawaran RM1.36 sesaham.

 

Merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Securities, Maybank Investment Bank Berhad dan badan profesional lain atas bimbingan dan nasihat semasa proses penawaran permulaan awam (IPO),

 

Pengerusi ATech, Datin Normaliza Kairon berkata, “Saya juga ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada para pelabur yang menaruh kepercayaan kepada kami dan keyakinan di dalam perniagaan kami sebagai peneraju dalam penyediaan perkhidmatan pembuatan elektronik di Malaysia untuk pembuatan produk elektronik perindustrian sejak hari pertama.

 

''Kami cukup terharu dengan maklum balas para pelabur terhadap penyenaraian syarikat ini dan kami amat gembira dengan pelancaran saham kami di Papan Utama hari ini.’’

 

“Kami percaya penyenaraian ini akan memberikan kami lebih ketrampilan yang kami perlukan untuk kami gunakan bagi mengembangkan perniagaan, mengekal dan menarik lebih ramai pelanggan di seluruh Asia Pasifik, benua Amerika dan Eropah.

 

''Penyenaraian ini juga memberikan kami peluang untuk merealisasikan pelan-pelan dan strategi masa hadapan kami, termasuk perluasan dan menaik taraf fasiliti pengeluaran kami,’’ katanya pada majlis pelancaran saham ATech di Bursa Malaysia pagi ini.


 

atech

 

Yang turut hadir ialah Pengarah Eksekutif (ED) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lee Chong Yeow dan ED & Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Loh Hock Chiang serta CEO Maybank Investment Bank Berhad, Dato' Fad'l Mohamed.

 

Menerusi proses IPO, syarikat ini menjana RM104.73 juta. Daripada hasil tersebut, sebanyak RM40.0 juta akan diguna bagi membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta untuk pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta untuk modal kerja dan RM7.09 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Datin Normaliza berikrar bahawa ATech akan terus mencipta nilai menerusi fokus ke atas perkara-perkara berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Disamping mengguna pakai teknologi, kami juga mahu mencipta nilai menerusi tumpuan kepada ESG dengan melaksanakan amalan-amalan kelestarian. Sejak 2004, kami telah mempunyai persijilan ISO di dalam sistem pengurusan alam sekitar dan kami berhasrat untuk menjadi penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik terbaik dengan kelayakan-kelayakan hijau,’’ ujarnya.

 

ATech menawarkan pilihan menyeluruh EMS kepada syarikat multinasional meliputi 11 negara di Asia Pasifik, benua Amerika dan Eropah. Perkhidmatan-perkhidmatan itu merangkumi perkhidmatan sokongan kejuruteraan, penyediaan prototaip, pemasangan board, pemasangan mekanikal, ujian dan pelabelan bagi komunikasi dan Internet Benda (“IoT”), peranti elektronik dan produk komponen semikonduktor diguna di dalam industri pengangkutan, pengurusan tenaga, telekomunikasi dan IoT.


 

Atech
Kilang Aurelius Technologies Berhad (ATech) di Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah.

 


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2021, produk komunikasi dan IoT menyumbang sebanyak 89.5% kepada perolehan Syarikat, dengan peranti elektronik menyumbang 9.4% dan komponen semikonduktor pula menyumbang kurang daripada 1%.

 

Tiga negara pelanggan utama daripada segi sumbangan perolehan bagi FYE19 hingga FYE21 ialah USA, Malaysia dan Singapura, yang secara kolektif masing-masingnya mewakili 93.6%, 92.7%, dan 89.3% hasil perolehan.

 

Maybank Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Prinsipal, Pengatur Taja Jamin Tunggal dan Penaja Jamin Tunggal.

 

Aurelius Technologies Berhad (ATech) merupakan penyedia Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) berkelas dunia dengan rekod prestasi lebih daripada 28 tahun di dalam industri produk elektronik perindustrian.

 

ATech menawarkan perkhidmatan EMS khusus untuk syarikat multinasional di 11 negara meliputi Asia Pasifik, benua Amerika dan Eropah, sebilangannya sudah bersama syarikat ini sejak ditubuhkan pada 1993.

 

Perkhidmatan yang disediakan oleh ATech adalah Pemasangan Papan Litar Bercetak (PCBA), Sub-Pemasangan, Pembinaan Kotak, Sistem Binaan dan juga Pelbagai Komponen Semikonduktor untuk industri Pengangkutan, Pengurusan Letrik, Tenaga, Telekomunikasi dan IoT. – DagangNews.com