Saham pemulihan COVID-19 dorong KLCI akhiri dagangan lebih tinggi, F&N pula paling rugi | DagangNews Skip to main content

Saham pemulihan COVID-19 dorong KLCI akhiri dagangan lebih tinggi, F&N pula paling rugi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pasaran saham tempatan meneruskan momentum pergerakan menaik petang ini, apabila berjaya ditutup lebih tinggi dipacu oleh saham-saham yang dijangka pulih pasca COVID-19. 

 

Petang ini, indeks utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI ditutup 1.89 mata lebih tinggi kepada 1,583.48 dengan 4.75 bilion saham didagangkan. 

 

Saham dalam sektor tenaga, hartanah, pasaran ACE, dan pembinaan antara yang melonjakkan indeks penanda aras utama. 

 

Firma penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd percaya perbincangan mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berjalan untuk memasuki fasa endemik akan terus memacu pembelian saham-saham pemulihan COVID-19. 

 

“Kami percaya perbincangan yang sedang berjalan mengenai kelonggaran SOP bagi persediaan fasa endemik COVID-19 dan ditambah kes jangkitan harian yang menyusut akan terus mendorong tumpuan terhadap saham pemulihan COVID-19.

 

“Dari aspek komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat sementara harga aluminum juga melonjak disebabkan oleh kebimbangan terhadap bekalan bahan mentah ketika terdapat rampasan kuasa di Guinea, pembekal utama bauksit,” jelas firma itu dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

Secara keseluruhannya, dagangan petang ini berakhir agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 633 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 439 dengan 424 kaunter tidak berubah dan 731 lagi tidak didagangkan. 

 

Menariknya petang ini, saham Fraser & Neave Holdings Berhad yang memulakan dagangan di kaunter paling untung pagi ini terpelosot ke kaunter paling rugi, dengan kemerosotan 44 sen kepada RM27.26.

 

Turut merasai impak negatif itu adalah saham Hong Leong Financial Group Berhad apabila ditutup 22 sen lebih rendah kepada RM18.28 dengan hanya 1,594 saham bertukar tangan. 

 

Beralih kepada kaunter paling untung, Nestle (Malaysia) Berhad berakhir dengan lonjakan terbesar sebanyak 80 sen kepada RM134.70 dengan RM2.2 juta nilai saham bertukar tangan. 

 

Selain Nestle, saham PMB Technology Berhad menutup dagangan dengan 53 sen lebih tinggi kepada RM6.93. 

 

Saham KNM Group Berhad sebaliknya kembali mengungguli kaunter paling rancak diniagakan dengan ditutup 2.5 sen lebih tinggi kepada 31.5 sen dan 2.35 juta jumlah saham bertukar tangan. - DagangNews.com