Saham SCIB akhiri dagangan di kaunter paling aktif, ditutup 31.7% lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Saham SCIB akhiri dagangan di kaunter paling aktif, ditutup 31.7% lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Saham Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) rancak diniagakan sepanjang hari ini dengan berada antara kedudukan teratas dalam kalangan kaunter paling aktif di Bursa Malaysia.

 

SCIB kembali diniagakan setelah digantung sejak 9 November lalu ekoran kegagalannya mengemukakan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

 

Bagaimanapun, syarikat pakar kejuruteraan awam ini telah mengeluarkan laporan tersebut pada Isnin lalu.

 

Dalam penutupan petang ini, ia menyaksikan harga sahamnya berakhir 31.71% atau 6.5 sen lebih tinggi kepada 27 sen. 

 

Dengan 111.27 juta saham diniagakan, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM119.32 juta.

 

Ketika pembukaan dagangan pukul 9 pagi tadi, harga sahamnya melonjak 41.46% atau 8.5 sen lebih tinggi kepada 29 sen.  
 

 

Baca : SCIB kembali diniagakan di Bursa Malaysia 19 Jan ini, optimis dengan prospek pertumbuhan kumpulan

 

Isnin lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, kumpulan kini akan memberi fokus untuk mewujudkan nilai dan mengoptimumkan prestasi syarikat pada tahun-tahun akan datang kerana SCIB boleh menumpukan perhatian penuh dalam usaha pengembangan ke Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

 
Katanya, walaupun menghadapi halangan, tetapi SCIB tidak berputus asa memandangkan kumpulan mempunyai projek lain yang berjalan mengikut jadual dan turut mengambil inisiatif untuk mencari peluang di Malaysia dan negara jiran lain. - DagangNews.com