Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Julai - Saluran sokongan perkhidmatan pelanggan Kumpulan AirAsia Berhad, AirAsia Virtual Allstar (AVA) kini boleh dihubungi melalui aplikasi sembang popular, WhatsApp.
Ketua Pegawai Bahagian Kebahagiaan Pelanggan AirAsia, Adam Geneave berkata, langkah itu adalah bertepatan dengan situasi terkini kerana mereka menerima jumlah permohonan yang tinggi berikutan COVID-19.
“Di AirAsia, para tetamu adalah keutamaan kami. Sebagai sebuah syarikat progresif dan digital, kami percaya AVA menawarkan standard perkhidmatan pelanggan yang tinggi melalui artificial intelligence (AI).
“AVA telah menyelesaikan jutaan kes pada setiap tahun menerusi pelbagai platform seperti Facebook, aplikasi mudah alih kami dan airasia.com, jadi ini adalah masa yang tepat untuk melancarkannya di aplikasi WhatsApp yang mempunyai lebih daripada dua bilion pengguna di seluruh dunia,” kata beliau dalam sebuah kenyataan hari ini.
AVA adalah bot sembang yang dapat menjawab pertanyaan daripada pelanggan dengan segera dalam 11 bahasa - Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Thai, Bahasa Indonesia, Vietnam, Korea, Tagalog, Hindi, Jepun dan Cina (ringkas dan tradisional).
Saluran perkhidmatan itu kini boleh dihubungi secara langsung menerusi talian +60 11-3516 5078 di Whatsapp atau layari support.airasia.com sebagai alternatif.
Saluran berkenaan boleh dihubungi pada setiap masa dan tetamu hanya perlu menaip “Hi” untuk bantuan.
Dalam pada itu, Geneave berkata, tahun 2020 amat mencabar untuk seluruh industri penerbangan dan inovasi yang diambil sebagai tanda sokongan berterusan kepada para pelanggan dengan menyediakan saluran komunikasi pilihan mereka.
“Seperti teknologi baharu yang lain, kami akan terus belajar dan menyesuaikan diri dalam melatih AVA untuk memberikan perkhidmatan terbaik dari masa ke masa.
“Pada masa ini, lebih 80% kes yang berjaya diselesaikan oleh AVA, dan selebihnya akan dikendalikan oleh Ejen Sembang Langsung untuk bantuan secara terus,” tambahnya.
Bagi panduan bercakap dengan AVA, sila klik pautan ini. - DagangNews.com