KUALA LUMPUR 28 Feb - Penyedia penyelesaian alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui (RE), Samaiden Group Bhd. telah menyelesaikan tranche kedua dan terakhir bagi pelaksanaan penempatan persendirian, meningkatkan hasil kasar sebanyak RM21.34 juta.
Ini berikutan terbitan 16,800,000 saham biasa baharu kumpulan pada RM1.27 sesaham, telah dilanggan syarikat kejuruteraan tersenarai terkemuka Jepun, Chudenko Corporation.
Ia menyaksikan Chudenko muncul sebagai pemegang saham besar Samaiden yang baharu dengan 7.27% pegangan ekuiti.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, reaksi positif daripada penempatan saham tersebut menunjukkan keyakinan kukuh pemegang saham terhadap kumpulan.
Katanya, ini secara tidak langsung mengesahkan model perniagaan dan hala tuju strategik kumpulan, menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk RE dan sektor persekitaran di rantau ini.
"Dana yang dikumpul daripada langkah ini membolehkan kami melaksanakan pelan pengembangan dalam pelaburan aset RE dan loji jana kuasa termasuk solar fotovoltaik, biomas, biogas dan aset hidro mini di samping memperlusakan lagi aliran pendapatan berulang.
"Oleh itu, kami yakin ini akan meningkatkan kedudukan kami dalam industri RE serta meningkatkan portfolio hasil kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 15 November lalu, Samaiden memperoleh kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd. bagi melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham terbitan Samaiden.
Kumpulan melengkapkan tranche pertama bagi penempatan itu pada 16 Disember 2021 berikutan penyenaraian 4.2 juta saham penempatan pada harga terbitan 94.5 sen sesaham, meningkatkan dana sebanyak RM3.97 juta.
Setakat ini, Samaiden telah mengumpul sejumlah RM25.31 juta daripada pelaksanaan penempatan persendirian itu, yang akan digunakan sebahagiannya bagi membiayai pelaburan kumpulan dalam aset RE.
Chudenko pula merupakan syarikat kejuruteraan am yang berpangkalan di Jepun, terlibat dalam reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan peralatan elektrik dalaman, sistem Penyaman Udara dan Sistem Pengudaraan Mekanikal (ACMV) dan kemudahan telekomunikasi di samping menawarkan perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan untuk saluran pengedaran dan penghantaran.
Ia mempunyai jangkauan domestik yang luas di Jepun dengan lebih 68 pejabat serantau, serta kehadiran di luar negara dengan anak-anak syarikat di Malaysia dan Singapura. -DagangNews.com