KUALA LUMPUR 22 Jun - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) membantah keras yuran RM300 setiap pekerja yang dikenakan oleh HRD Corp untuk memproses geran latihan micro-credential.
Pengerusi SAMENTA, Datuk Willian Ng berkata, pihaknya menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan agar segera mengarahkan HRD Corp menangguhkan cadangan mengenakan yuran tersebut, dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Lembaga Pengarah HRD Corp mengenai rasional dan keperluan kewangan bagi yuran tersebut.
Berikutan pindaan yang dibuat kepada Akta PSMB pada tahun 2021, semua majikan, termasuk perusaahan kecil dan sederhana (PKS) dengan 10 pekerja dan ke atas wajib menyumbang kepada dana HRD Corp, bertujuan membangunkan kemahiran pekerja.
Sebagai contohnya, sebuah PKS dengan 10 pekerja dan membayar gaji bulanan sebanyak RM2,000 seorang, wajib menyumbang RM2,400 setahun kepada HRD Corp.
Dana ini kemudiannya boleh digunakan untuk program latihan yang diputuskan oleh PKS tersebut. Misalnya, PKS boleh menghantar 3 orang pekerja untuk mengikuti kursus perkhidmatan pelanggan dengan bayaran RM800 seorang dan yuran kursus tersebut boleh dituntut daripada dana HRD Corp.
Dengan yuran micro-credential yang baru ini, PKS yang sama hanya dapat melatih 2 pekerja, kerana RM600 daripada dana itu akan dibayar kepada HRD Corp untuk memproses micro-credential.
“Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp dan Lembaga Pengarahnya harus menjawab bagaimana dengan melatih kurang pekerja dengan wang yang sama, dapat meningkatkan kemahiran lebih ramai rakyat Malaysia.
“Kami kecewa kerana walaupun mempunyai talian komunikasi terus, HRD Corp tidak meminta pandangan SAMENTA mengenai langkah ini, seolah-olah tidak berminat mendapatkan maklum balas dari PKS dan majikan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ng berkata, ketika kekurangan tenaga kerja menghalang pemulihan dan pertumbuhan PKS, adalah penting bagi PKS meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja mereka sebagai pemacu ke arah automasi dan pendigitalan.
“Inisiatif HRC Corp terbaru ini bukan sahaja tidak produktif tetapi juga mengehadkan hak majikan untuk menentukan keperluan latihan perniagaan mereka dan pekerja mereka,” kata beliau.
Dibentuk pada tahun 1986, SAMENTA adalah persatuan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang tertua di Malaysia. – DagangNews.com