Sapura Energy diberi lanjutan 6 bulan kemukakan pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia pada 30 Nov 2024 | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy diberi lanjutan 6 bulan kemukakan pelan penyusunan semula kepada Bursa Malaysia pada 30 Nov 2024

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 1 Julai - Bursa Malaysia Securities melanjutkan tarikh akhir bagi Sapura Energy Bhd untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya selama enam bulan lagi, ditetapkan pada 30 November 2024 berikutan permohonan ketiga lanjutan masanya.

 

Penasihat utama syarikat, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, menerima makluman tersebut pada 28 Jun 2024, menurut pernyataan Sapura Energy di Bursa Malaysia.

 

 

BACA  ARTIKEL: Untung bersih suku pertama Sapura Energy susut 44% di tengah-tengah kerugian RM117 juta pembubaran anak syarikat

 

Menurut syarikat itu lagi, kelulusan diberikan tanpa menjejaskan hak Bursa Securities untuk menggantung dagangan sekuriti tersenarai Sapura Energy dan menyahsenarai syarikat itu jika syarikat itu gagal mengemukakan pelan regularisasinya menjelang 30 November 2024.

 

"Sapura Energy mesti mendapatkan kelulusan kawal selia yang diperlukan dan melaksanakan pelan penyusunan semula dalam tempoh masa yang ditetapkan atau dilanjutkan," katanya.

 

Menurutnya, jika mana-mana syarat berlaku, Bursa Securities akan menggantung dagangan sekuriti tersenarai SEB pada hari pasaran keenam selepas tarikh pemberitahuan penggantungan dan meneruskan tindakan menyahsenarai syarikat, tertakluk kepada hak Sapura Energy untuk merayu penyahsenaraian itu.

 

 

 

 

Dalam makluman berasingan mengenai status PN17, Sapura Energy berkata, bersama penasihatnya, akan terus membangunkan pelan itu secara aktif bagi memastikan pelan berkenaan cukup teguh  bagi menangani keadaan perniagaan dan kewangannya. - DagangNews.com