Sapura Energy raih kontrak RM1 bilion daripada Mubadala, Petronas & Brunei Shell | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy raih kontrak RM1 bilion daripada Mubadala, Petronas & Brunei Shell

 

KUALA LUMPUR 28 April - Anak syarikat kejuruteraan dan pembinaan milik penuh Sapura Energy Bhd diberikan kontrak dengan nilai gabungan RM1 bilion.

 

Sapura Energy berkata Sapura Fabrication Sdn Bhd memperoleh variasi pesanan daripada syarikat minyak dan gas huluan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mubadala Petroleum.

 

Ia termasuk kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pengangkutan dan pemasangan dan perkhidmatan penyambungan telaga dan pengoperasian (EPCIC) gas dan pemeluwap kemudahan penyingkiran merkuri bagi projek Pembangunan Lapangan Gas Pegaga, di luar pesisir Sarawak.

 

mubadala

 

"EPCIC berkenaan dijangka siap menjelang suku ketiga 2022," menurut Sapura Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lapr Bernama.

 

Sapura Fabrication turut mendapat kontrak daripada syarikat perkhidmatan cari gali dan pengeluaran minyak dan gas Hess Exploration and Production Malaysia B.V. bagi penyediaan EPCIC ke atas Fasiliti Fasa 4A, Pembangunan Penuh Lapangan (FFD) North Malay Basin di luar pesisir Semenanjung Malaysia di bawah Pakej B - Rangka Perjanjian Petronas.

 

Kontrak itu turut merangkumi bekalan dan penyelenggaraan keseluruhan sistem pengurusan bagi sistem titik jualan dan automasi di semua stesen minyak Petronas untuk tempoh 18 bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021.

 

Sementara itu, Sapura Offshore diberikan arahan kerja bagi projek pembangunan Bakau tidak berkaitan gas (NAG) dan Fasa 2 projek pembangunan semula gas Bayan, masing-masing di luar pesisir Sarawak menerusi Kempen Pengangkutan dan Pemasangan Kemudahan Luar Pesisir 2021 Pan Malaysia oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Skop arahan kerja di bawah projek pembangunan Bakau NAG adalah termasuk mobilisasi pengagihan, pengurusan projek, pengantaramukaan, pengangkutan dan pemasangan, kajian sebelum dan selepas, prapengoperasian saluran serta kerja pilihan lain seperti yang ditentukan dalam arahan kerja bagi 2021.

 

Fasa 2 projek pembangunan semula gas Bayan pula membabitkan antaranya pengurusan projek, pengantaramukaan, pengangkutan dan pemasangan, kajian sebelum dan selepas, prapengoperasian saluran dan kerja pilihan lain seperti yang dinyatakan dalam arahan kerja tahun berkenaan.

 

Syarikat berkenaan turut mendapat skop kerja pilihan bagi kejuruteraan dan pembinaan platform kepala telaga bagi projek Egret East daripada Brunei Shell Petroleum Company Sdn Bhd.

 

"Skop kerja pilihan adalah bagi kejuruteraan, pemerolehan, dan pembinaan platform kepala telaga termasuk muatan, pengikatan kargo dan pasca pemasangan dan pengoperasian lapangan minyak dan gas Egret East.

 

"Kerja-kerja itu dijangka siap pada suku kedua tahun kewangan 2023," kata Sapura Energy. - DagangNews.com