Sapura Energy umum rancangan persaraan Shahril | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy umum rancangan persaraan Shahril

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Sapura Energy Bhd mengumumkan rancangan persaraan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (CEO), Tan Sri Shahril Shamsuddin yang telah mengasas dan menerajui syarikat itu selama 25 tahun.

Dalam pernyataan kepada Bursa Malaysia, Sapura Energy berkata, Shahril dijangka melepaskan jawatan apabila mencapai usia persaraannya pada umur 60 tahun, pada 22 Mac tahun depan.

Susulan itu, Ahli Lembaga Pengarah Sapura Energy melantik Datuk Mohd Anuar Taib sebagai Ketua Pegawai Operasi dan bakal CEO berkuatkuasa 1 Oktober ini, sebagai sebahagian daripada tempoh transisi selama enam bulan.

Shahril yang mengasas penubuhan Sapura Energy pada pertengahan 90-an, membina syarikat sejak dari awal bermula dengan kontraktor selaman kepada syarikat minyak dan gas (O&G) bersepadu global.

Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, di bawah kepimpinannya, Sapura Energy berkembang daripada memberi tumpuan kepada pasaran domestik menjadi syarikat O&G yang menawarkan perkhidmatan seluruh rantaian nilai huluan.

"Ia termasuk menjadi syarikat minyak bebas serantau menerusi SapuraOMV, dengan sumber bersih melebihi 260MMboe dan memenuhi sebahagian besar keperluan gas asli di Malaysia," ujar beliau.

"Legasi Tan Sri (Shahril) akan menjadi modal insan berkemahiran tinggi dan memiliki kemampuan teknikal multinasional, aset berkelas dunia yang strategik, proses mantap dan kemampuan pengurusan projek terbaik," tambah Shamsul Azhar. - DagangNews.com