Saravanan ke Jakarta Isnin muktamadkan isu-isu berkaitan MOU pengambilan amah | DagangNews Skip to main content

Saravanan ke Jakarta Isnin muktamadkan isu-isu berkaitan MOU pengambilan amah

PUTRAJAYA 19 Jan - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan akan bertemu Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah bagi memuktamadkan isu-isu yang berkaitan dengan Memorandum Persefahaman (MOU) berhubung Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) supaya ia dapat ditandatangani pada 7 dan 8 Februari 2022 di Bali.

 

Menurut Saravanan, beliau dijadualkan bertemu Ida Fauziyah di Jakarta pada 24 Januari 2022.

 

''Ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari 2022 agar satu lawatan diadakan bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung pemeteraian MOU tersebut.

 

''Isu-isu utama berkaitan dengan MOU tersebut berhubung One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI telah pun disepakati menerusi siri rundingan di antara kedua pihak,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

MOU terdahulu telah ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia pada tahun 2006 di Bali, Indonesia.

 

Seterusnya, Protokol bagi meminda MOU tersebut telah ditandatangani di Bandung, Indonesia pada tahun 2011.


 

saravanam
                      Datuk Seri M. Saravanan

 


''Pertemuan saya dengan Ida Fauziyah ini juga akan turut dihadiri oleh Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin, Menteri Dalam Negeri yang juga dalam siri lawatan kerja ke Indonesia pada tempoh tersebut,'' kata beliau. - DagangNews.com