KUALA LUMPUR 1 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan empat pelantikan kanan baharu termasuk Datuk Seri Abdul Jalil Hamid sebagai Pengarah Eksekutif, Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi, berkuat kuasa hari ini.
Abdul Jalil yang merupakan bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times, akan memainkan peranan utama untuk meningkatkan libat urus dan strategi komunikasi SC dengan pemegang kepentingan utama.
Seorang lagi ialah Datin Azalina Adham yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, Strategi dan Dasar iaitu kumpulan perniagaan yang baru ditubuhkan.
"Dengan pengalaman luas beliau dalam kewangan dan pasaran modal, Azalina akan membantu memacu hala tuju strategik SC dalam beberapa bidang kritikal termasuk perancangan korporat, pengurusan risiko dan hubungan antarabangsa untuk membangunkan lagi pasaran modal," kata SC dalam kenyataan di sini hari ini.
SC juga menaikkan pangkat Dr Wong Huei Ching kepada Pengarah Eksekutif, Strategi Digital dan Inovasi, bertujuan memajukan lagi potensi digital dan inovasi ke arah membentuk pasaran modal yang lebih inklusif dan mampan untuk perniagaan dan pelabur.
Dr Wong menyertai SC pada tahun 2017 dan telah mengetuai beberapa fungsi utama SC seperti perancangan dan strategi korporat. Beliau telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Pelan Induk Pasaran Modal 3.
Selain itu, SC juga melantik Budiman Lutfi Mohamed sebagai Pengarah Penguatkuasaan baharu, selaras dengan sejarah pelantikan pegawai SC dari Jabatan Peguam Negara dan akan mengetuai kerja penyiasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan sivil SC.
"Seperti yang diumumkan sebelum ini pada 29 April 2022, Yew Yee Tee dan Shamsul Bahriah Shamsudin akan memegang jawatan baharu masing-masing sebagai Ketua Kaunsel dan Pengarah, Pengawasan Pengantara dan Dana.
"Yew akan memimpin bahagian dasar, perundangan dan menyediakan sokongan khidmat nasihat strategik bagi perkara berkaitan undang-undang dalaman dan luaran
yang melibatkan SC.
Shamsul Bahriah pula akan bertanggungjawab ke atas pemberian kebenaran dan pelesenan, dan penyeliaan pengantara pasaran, kata suruhanjaya tersebut.
Sementara itu, Pengerusi SC Dato' Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, beliau berbesar hati mengumumkan pelantikan baharu dalam pasukan eksekutif.
"Gabungan pengetahuan dan pengalaman luas mereka daripada sektor awam dan swasta akan mengukuhkan lagi keupayaan dan keberkesanan SC untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan integriti dalam persekitaran yang berkembang pesat yang merangkumi kemampanan, persaingan dan inovasi,” katanya. - DagangNews.com