SCORE raih pelaburan bernilai RM102.36 bilion sehingga 2022  | DagangNews Skip to main content

SCORE raih pelaburan bernilai RM102.36 bilion sehingga 2022 

KUALA LUMPUR 23 Feb - Wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) merekodkan pelaburan awam dan swasta sebanyak RM102.36 bilion sehingga 2022.

 

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, daripada jumlah tersebut, sejumlah RM93.09 bilion disumbangkan oleh pelaburan swasta melalui pelaksanaan 334 projek manakala RM9.17 bilion daripada pelaburan awam yang melibatkan pelaksanaan 326 projek.

 

“SCORE menyasarkan jumlah pelaburan dirancang sebanyak RM334 bilion menjelang 2030, dengan pelaburan swasta RM267 bilion dan pelaburan kerajaan RM67 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Bernama melaporkan.

 

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai perkembangan terkini dan pencapaian SCORE di Tanjong Manis, Sarawak.

 

 

Datuk Hanifah Hajar Taib
            Datuk Hanifah Hajar Taib

 

 

Menurutnya Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) adalah antara nod pertumbuhan utama yang telah dikenal pasti dalam wilayah SCORE untuk memacu pembangunan ekonomi di Tanjung Manis dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

 

Sehingga kini, beliau berkata T-MEGA mencatatkan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion dan pihak Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah menjangkakan sejumlah RM803.5 juta pelaburan akan direalisasi menjelang 2026.

 

"Sebanyak RM2.5 bilion nilai eksport terkini daripada kawasan Wilayah Tengah Sarawak termasuk T-MEGA telah direkodkan melalui Pelabuhan Tanjung Manis dan ia dijangka terus meningkat sehingga RM4.5 bilion menjelang 2030," katanya.

 

Hanifah berkata memandangkan T-MEGA ialah kawasan baru dibangunkan, fasa awal bertumpu kepada pembangunan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, telekomunikasi, elektrik dan infrastruktur logistik bagi menyokong keperluan asas industri yang dirancangkan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.


 

score

 


Kepada pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) dan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri pantai timur, Hanifah berkata di bawah Rolling Plan 2 Tahun 2022, negeri-negeri Pantai Timur telah diluluskan peruntukan pembangunan asas sebanyak RM5.89 bilion.

 

Katanya sebanyak 1,068 projek pembangunan di bawah pelbagai kementerian diluluskan.

 

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan di negeri-negeri pantai timur adalah pembinaan bangunan baru pusat pakar pergigian Terengganu (kos projek RM34.2 juta), projek pembinaan Stadium Bukit Merbau di Kelantan (kos projek RM180 juta) dan program Perumahan Rakyat Bera, Pahang (kos projek RM234 juta), katanya.

 

Hanifah berkata kerajaan memperuntukkan RM162.8 juta perbelanjaan pembangunan pada 2022 bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi membiayai program/projek pembinaan infrastruktur negeri-negeri di wilayah ECER.

 

Katanya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12, Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM16.90 bilion dengan jumlah pelaburan direalisasi RM6.45 bilion. - DagangNews.com