Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Sime Darby Plantation Bhd. (SD Plantation) tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Liberty Shared (LS) atas dakwaan penggunaan buruh paksa.
Pada April lalu, LS yang merupakan kumpulan anti pemerdagangan manusia berpangkalan di Hong Kong telah menghantar petisyen kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) untuk mengenakan sekatan ke atas produk SD Plantation ke Amerika Syarikat (AS).
Susulan itu, CBP AS mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) pada 30 Disember lalu ke atas minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit dihasilkan oleh SD Plantation dan anak-anak syarikatnya.
Sekatan ini juga melibatkan usaha sama dan entiti gabungannya, membolehkannya untuk menahan penghantaran berdasarkan disyaki terdapat pembabitan buruh paksa.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation, Mohamad Helmy Othman berkata, objektif utama syarikat ketika ini adalah untuk memastikan WRO ditarik balik.
Bagi mencapai matlamat itu, katanya, syarikat akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan yang dibuat oleh pihak terbabit.
"Ini kerana ada banyak dakwaan boleh dibuat terhadap kita, tetapi sehingga kita tahu sama ada ia melibatkan pekerja atau bila ia berlaku, di ladang mana.
"Kita tidak boleh berbuat apa-apa dan ini meninggalkan kami dalam kegelapan," katanya dalam sidang akhbar bagi prestasi kewangan suku keempat 2020 secara maya hari ini.
Jelasnya, meskipun kumpulan akan terus menangani cabaran tahun ini, keutamaan paling utama adalah memberi perhatian kepada kebimbangan pihak berkepentingan terhadap yang dikeluarkan CBP AS.
Buat masa ini, katanya, kumpulan sedang bekerjasama dengan organisasi bebas dan berkredibiliti bagi mengatasi perkara ini dengan pantas.
"Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk terus membuat pembaharuan, SD Plantation bertekad secara proaktif mengenal pasti sebarang jurang yang mungkin wujud dalam operasi kami dan untuk melindungi kesejahteraan dan keselamatan semua pekerja, terutama yang paling terjejas," katanya.
Mengenai pelantikan organisasi bebas itu pula, Mohamed Helmy berkata, ia akan diumumkan tidak lama lagi yang mana firma ini akan membuat penilaian ke atas SD Plantation.
Beliau menjelaskan, ia agak mengambil masa kerana ini bukan isu yang kecil dan pihak syarikat perlu mencari firma yang betul-betul berkredibiliti dan bukan hanya dari CBP AS.
Firma yang dilantik ini juga mestilah diterima di mata pelanggan dan dengan itu soal kredibiliti ini amat penting, tegasnya.
"Dalam masa sama, ketika pandemik COVID-19 ini juga menyebabkan urusan perjalanan menjadi sukar dan adalah mustahil bagi mereka untuk datang ke sini dan membuat penilaian.
"Ini jelas menunjukkan, firma bebas yang kami mahu lantik adalah dari kalangan firma antarabangsa. Jadi ini adalah antara cabaran yang kami hadapi, tetapi kami akan membuat bila tiba masanya," katanya.
Mengenai prospek masa depan, beliau berkata, walaupun terdapat unjuran peningkatan minyak sawit mentah (MSM), kumpulan optimis tetapi berhati-hati dalam mencapai prestasi keseluruhan yang memuaskan tahun ini.
"Kami menjangkakan 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik buat SD Plantation," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Mohd. Haris Mohd. Arshad tidak menjangkakan sebarang kenaikan berterusan dalam harga MSM tetapi menjangkakan ia akan pulih pada separuh kedua tahun ini.
"Harga MSM dijangka berlegar sekitar RM3,000 satu tan metrik untuk separuh kedua manakala bagi separuh pertama ini, sekitar purata RM3,100," katanya.
Bagi tahun kewangan 2020, SD Plantation menyaksikan harga MSM meningkat 23% kepada RM2,532 satu tan metrik daripada RM2,603 tahun sebelumnya. - DagangNews.com