KUALA LUMPUR 16 Mac - Sebanyak 24,150 aduan berkaitan transaksi dalam talian sehingga 28 Februari lalu, merangkumi 36.45% berbanding jumlah aduan keseluruhan yang diterima oleh Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama dilaksanakan pada Mac 2020.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sejak PKP tahun 2020, statistik telah menunjukkan peningkatan yang signifikan terhadap aduan berkaitan transaksi dalam talian.
Beliau berkata, pengguna di negara ini masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak-hak mereka sebagai pengguna, kata .
Menurut beliau, rumusan itu dibuat berdasarkan kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna yang berada pada tahap 63.1% yang dikategorikan sebagai tahap sederhana (moderate).
Oleh yang demikian kata beliau, Kementerian akan terus merangka program advokasi di setiap peringkat masyarakat bagi menangani isu-isu kepenggunaan semasa.
Kementerian akan terus memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna dengan kerjasama pihak swasta, NGO, komuniti dan juga masyarakat awam.
''Bukan itu sahaja, Kementerian juga sentiasa mengenal pasti kaedah-kaedah lain untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna, antaranya ialah kerjasama dengan influencer dan platform e-dagang seperti Lazada bagi meluaskan lagi capaian terhadap pengguna,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan Advokasi Kepenggunaan Melalui Medium Pengangkutan Awam dan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022 di sini hari ini.
Alexander berkata, tema yang dipilih bagi Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day pada tahun ini sebagaimana yang ditetapkan oleh Consumers International ialah ‘Fair Digital Finance’ yang menjurus ke arah kesaksamaan kewangan digital.
Berteraskan tema ini juga, tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan telah dipilih iaitu ‘Digitalisasi Pengguna’ yang lebih menggambarkan senario perubahan trend pengguna di Malaysia ke arah urus niaga perkhidmatan dan pembelian dalam talian.
Antara langkah yang diambil oleh Kementerian adalah mempelbagaikan medium advokasi kepenggunaan kepada masyarakat supaya ilmu kepenggunaan dapat disebarkan dengan lebih meluas.
Sebelum ini, pihak Kementerian telah mewujudkan kerjasama dengan MedikTV, Phar Partnership, Shopee dan sebagainya bagi memberikan advokasi kepenggunaan kepada masyarakat melalui platform media sosial, e-dagang, laman web terpilih serta hospital dan klinik kerajaan.
Justeru, di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu dalam usaha mewujudkan keluarga pengguna yang berdayaupaya.
''Kini, kita bergerak selangkah kehadapan dengan mewujudkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam.
''Sebagaimana yang kita sedia maklum, Mass Rapid Transit atau MRT telah menjadi pilihan sebahagian besar pengguna khususnya di Lembah Klang sebagai medium pengangkutan seharian.
''Kerjasama ini dilihat bersesuaian dan mampu memberikan impak positif kerana capaian kepada pengguna yang dimiliki oleh MRT dengan purata 62,000 penumpang sehari dan setiap hari pengguna akan menghabiskan sebahagian masa mereka berada di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing.
''Oleh itu wajar sekiranya waktu tersebut diisi dengan advokasi kepenggunaan yang disediakan di dalam koc MRT tersebut,'' ujar beliau. - DagangNews.com