Secondlifeasia kembangkan perniagaan ke Thailand dengan pelaburan awal sebanyak AS$250,000 | DagangNews Skip to main content

Secondlifeasia kembangkan perniagaan ke Thailand dengan pelaburan awal sebanyak AS$250,000

Secondlifeasia jalin kerjasama dengan Appidea Co Ltd, bagi mengembangkan perniagaan pembaikan peranti pintar di Thailand.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Feb - Syarikat pembaikan peranti pintar terbesar di Malaysia, Secondlifeasia menjalinkan kerjasama dengan Appidea Co., Ltd bagi mengembangkan perniagaannya ke Thailand dengan pelaburan awal sebanyak AS$250,000. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Secondlifeasia, Jerome Teh berkata, langkah itu bertujuan memperkasakan budaya pembaikan peranti pintar di pasaran dengan menawarkan alat ganti tulen selain memastikan pemulihan pantas dan pembaikan terpilih dalam tempoh dua jam.

 

“Di Secondlifeasia, kami berada dalam misi untuk menyelamatkan alam sekitar melaui satu peranti pada satu masa.

 

"Sebagai pembaikan yang dipercayai untuk jenama peranti pintar terkenal dunia, juruteknik bertauliah kami akan membawa kecekapan teknikal dan kecemerlangan operasi daripada 600 jam latihan teori dan praktikal ke pasaran yang berkembang pesat ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.​

 

Pengembangan itu akan menyaksikan Secondlifeasia menubuhkan tiga unit kedai di Thailand menjelang akhir 2024 dan ia menandakan capaian geografi kerana kedai itu akan menyediakan pembaikan segera kepada pelanggan serta penawaran pelan perlindungan peranti dalamannya, Guard Genius.

 

Guard Genius menawarkan pelan perlindungan tersuai yang disesuaikan untuk telefon pintar baharu dan di luar jaminan berdasarkan data pengguna dunia sebenar, menekankan pada keterjangkauan, penjagaan pencegahan dan pengalaman tertumpu kepada pelanggan.

 

Jerome berkata, berdasarkan pengalaman sedia ada, peranti pintar generasi semasa boleh memenuhi keperluan pengguna mengikut cara mereka menggunakan peranti.

 

"Selain kemas kini sistem, kami percaya bahawa melalui Guard Genius dan Secondlifeasia, kami boleh memanjangkan jangka hayat peranti pintar mereka dan mengurangkan penggunaan sumber yang tidak perlu," katanya.

 

Menerusi pelaburan sebanyak RM868,000 sejak penubuhannya pada 2019, syarikat pemula itu merekodkan pertumbuhan sebanyak 424% dari tahun ke tahun, dan menjangkakan mencecah pendapatan tahunan sebanyak RM7 juta pada tahun ini. - DagangNews.com