Sedenak bakal jadikan Johor sebagai hab pembekal makanan, pintu masuk antarabangsa - PM | DagangNews Skip to main content

Sedenak bakal jadikan Johor sebagai hab pembekal makanan, pintu masuk antarabangsa - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Sedenak akan menjadi flagship keenam di Iskandar Malaysia dan bakal menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan pembangunan terbaharu selepas Pusat Bandar Johor Bahru; Iskandar Puteri; Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin; Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai, Skudai.

 

Beliau berkata, pembangunan Sedenak juga akan memanfaatkan komuniti tempatan serta jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.

 

"Setiap flagship mempunyai fokus pembangunan tersendiri dan Sedenak akan memberi tumpuan kepada industri agroteknologi; teknologi tinggi; penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.

 

"Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa IRDA (Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar) telah memulakan inisiatif membangunkan Sedenak yang terletak di utara Iskandar Malaysia, untuk mempercepatkan pertumbuhan di kawasan itu.

 

"Pada masa ini, kebanyakan pembangunan di Iskandar Malaysia tertumpu di bahagian selatan Johor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

Ismail Sabri berkata, sepanjang tahun 2021 seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di Iskandar Malaysia telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

 

Beliau berkata, melalaui Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) sebanyak 252 syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja-pekerja baharu termasuk daripada golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara. 

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia. 

 

irad

 

"Sejumlah 140 peserta B40 telah menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25% hingga 65% melalui skim penjanaan pendapatan," katanya.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, IRDA turut menyarankan keperluan untuk meneruskan pembangunan rumah transit yang disasarkan kepada rakyat yang baru sahaja bekerja, memulakan perniagaan atau keluarga. 

 

Beliau berkata, generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka berusaha ke arah masa hadapan yang lebih kukuh.

 

"Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit apartment telah didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat," katanya. - DagangNews.com