Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Nov - Prestasi segmen huluan yang mantap menyaksikan untung bersih Sime Darby Plantation Bhd. melonjak lebih 3 kali ganda kepada RM610 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM190 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagi tempoh itu, pendapatan pula meningkat 59% kepada RM5.06 bilion daripada RM3.18 bilion di sebalik cabaran operasi akibat penularan pandemik COVID-19 dan masalah kekurangan tenaga buruh, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ini mencerminkan prestasi cemerlang bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 apabila kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM2.65 bilion dan keuntungan bersih RM1.79 bilion bagi tahun ke tahun masing-masing meningkat sebanyak 74% dan 73%.
Harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) direalisasikan yang lebih tinggi mengimbangi penurunan dalam pengeluaran buah tandan segar bagi operasinya di Malaysia.
Segmen huluan pada suku ketiga merekodkan PBIT sebanyak RM913 juta, meningkat 234% daripada tempoh sebelumnya, RM273 juta.
Bagi suku dikaji, harga MSM dan PK direalisasikan masing-masing meningkat 51% dan 66%, kepada purata RM3,770 dan RM2,2274 satu tan metrik.
Untuk segmen hiliran pula, Sime Darby Oils, berdepan cabaran apabila PBIT susut kepada RM7 juta daripada RM71 juta pada tahun sebelumnya disebabkan terutamanya keuntungan lebih rendah dijana menerusi operasi di Asia Pasifik.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, kumpulan menyasarkan harga MSM kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini sebelum ia mengalami pelarasan penurunan pada suku kedua 2022 apabila bekalan bertambah baik.
Katanya, dengan harga yang tinggi, ia dapat mengimbangi impak daripada masalah kekurangan tenaga buruh yang dihadapi operasi huluan kumpulan di Malaysia.
"Namun, kami menjangkakan permintaan akan kekal kukuh kerana lebih banyak negara melonggarkan sekatan COVID-19 mereka dan mengembalikan semula permintaan.
"Tanpa sebarang perkara di luar jangka, kumpulan turut menjangkakan keseluruhan prestasi 2021 yang kukuh," jelas beliau. - DagangNews.com