Sekatan CBP AS antara punca untung bersih Q4 Top Glove susut 48% | DagangNews Skip to main content

Sekatan CBP AS antara punca untung bersih Q4 Top Glove susut 48%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Tindakan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) antara punca keuntungan bersih Top Glove Corporation Berhad menyusut 48% pada suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) yang berakhir 31 Ogos lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu menyaksikan keuntungan bersihnya pada suku tahun berkenaan merosot kepada RM608 juta berbanding RM1.2 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun kewangan sebelumnya. 

 

Menurut makluman kumpulan di Bursa Malaysia, prestasi yang lebih lemah itu juga disebabkan oleh permintaan yang kembali normal, diikuti oleh jumlah jualan dan purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah. 

 

Kumpulan juga tidak menafikan kemerosotan itu juga berpunca daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana industri sarung tangan yang berpangkalan di Selangor tidak dapat beroperasi selama 10 hari yang turut melibatkan 50% kilang Top Glove.

 

Bagi perbandingan prestasi sepanjang tahun kewangan, Top Glove bagaimanapun berjaya mencatatkan lonjakan 349% dari segi keuntungan bersih kumpulan pada FY21 kepada RM7.9 bilion daripada RM1.8 bilion yang dicatatkan pada FY20. 

 

Sejajar dengan komitmen Top Glove untuk memberi penghargaan kepada kira-kira 136,000 pemegang saham awamnya, kumpulan mengisytiharkan jumlah pembayaran dividen untuk 4QFY21 sebanyak 71%, merangkumi pembayaran dividen khas 21% ditambah 50% selaras dengan dasar dividennya. 

 

Ini mewakili jumlah dividen 5.4 sen sesaham terdiri daripada dividen akhir 3.8 sen sesaham dan dividen khas 1.6 sen sesaham yang akan dibayar pada 15 Oktober 2021, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan pada tahun kewangan semasa sebanyak RM5.21 bilion atau 65.1 sen sesaham. 

 

Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow dalam satu kenyataan memberitahu, prestasi baik itu telah membolehkan mereka terus memberikan nilai kepada banyak pihak berkepentingan kumpulan. 

 

Lee Kim Meow
Lee Kim Meow

 

“Kami dapat memberi penghargaan kepada pemegang saham dan pelabur setia kami atas sokongan berterusan mereka. Ini juga menempatkan kami untuk terus menciptakan peluang pekerjaan dan memenuhi kewajipan cukai kami, sambil menyokong tanggungjawab sosial korporat dan juga masyarakat. 

 

"Kami yakin bahawa permintaan sarung tangan sebagai barang keperluan dalam sektor penjagaan kesihatan akan terus meningkat, apatah lagi dengan kemunculan virus baharu,” katanya.

 

Walaupun persekitaran perniagaan pada masa depan dijangka mencabar dan kompetitif, Kim Meow yakin Top Glove berada dalam kedudukan yang baik untuk mengatasinya, seperti sebelum ini. 

 

Katanya, Top Glove akan meningkatkan kualiti dan kecekapan mereka melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), program penambahbaikan dan teknologi canggih, serta meningkatkan inisiatif kelestarian mereka.

 

Baru-baru ini, operasi Top Glove telah dibenarkan untuk meneruskan pengeksportan dan penjualan sarung tangan ke AS berkuatkuasa pada 10 September 2021. 

 

Baca : Isu buruh paksa selesai, Top Glove boleh eksport semula sarung tangan ke AS

 

Berdasarkan Modification of the Finding by the U. S. CBP, kumpulan telah menangani semua petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti di kemudahannya di Malaysia. 

 

Perkembangan positif ini dijangka meningkatkan penjualan dari operasi Top Glove di Malaysia ke AS, yang menyumbang 15% daripada jumlah penjualan kumpulan. - DagangNews.com