Sekatan pergerakan dijangka jejaskan ekonomi Q3 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sekatan pergerakan dijangka jejaskan ekonomi Q3 - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Sekatan pergerakan yang masih dilaksanakan secara berterusan dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga ini.

 

Pada suku kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang 16.1% menjadikan pertumbuhan separuh pertama kepada 7.8%, berbanding -3.1% tahun lalu berikutan asas yang rendah. 

 

Menurut MIDF Research, pertumbuhan separuh pertama itu adalah lebih tinggi berbanding unjurannya pada 7.1% tahun ke tahun. 

 

Katanya, ia mungkin akan melonjakkan pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi tahun ini tetapi langkah sekatan pergerakan akan menyaksikan pertumbuhan negatif pada suku akan datang. 

 

"Bagaimanapun, kami kekal optimistik perkembangan kadar vaksinasi akan membantu mengurangkan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan negara dan mampu mencapai imuniti kelompok menjelang suku keempat tahun ini. 

 

"Pada masa sama, kebanyakan negeri juga sudah beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara, dengan kelonggaran ekonomi dan permintaan terpendam (pent-up demand) semakin berkembang akan menyokong pemulihan ekonomi pada suku keempat dan seterusnya pada 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Namun, firma itu masih berhati-hati terhadap penularan semula jangkitan COVID-19 di beberapa buah negara akan mempengarugi prospek dagangan dalam tempoh terdekat.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 4.6% dengan mengambil kira risiko terhadap penurunan pertumbuhan ekoran langkah sekatan pergerakan dan situasi semasa pandemik COVID-19 dengan kemunculan varian Delta. 

 

Ekonomi Malaysia berkembang 16.1% pada suku kedua 2021 berbanding penguncupan 0.5% pada suku sebelumnya mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua 2020. 

 

Bagi tempoh sama tahun lalu, KDNK Malaysia menguncup 17.1%, paras terendah yang direkodkan sejak suku tahun keempat 1998 (-11.2%).

 

Prestasi ekonomi suku kedua ini disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport terus mantap. 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyemak semula unjuran KDNK tahun ini lebih rendah antara 3 hingga 4% berbanding 6 hingga 7.5% sebelum itu. 

 

 

Baca : Ekonomi Malaysia Q2 berkembang 16.1%

 

Baca : BNM : KDNK 2021 diunjur lebih rendah antara 3-4% 

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2021 pada 3.9% yang berada dalam julat BNM manakala 4.7% pada 2022. 

 

"Kami melihat ekonomi suku ketiga akan kekal lemah dengan mengambil kira langkah-langkah sekatan yang masih dilaksanakan terutama di negeri yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi. 

 

"Pada masa sama, kami juga menjangkakan bantuan seperti wang tunai, program subsidi upah dan moratorium hanya memberi sedikit kelegaan dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi," katanya. 

 

Firma itu bagaimanapun yakin peningkatan kadar vaksinasi dapat menyumbang kepada pembukaan semula ekonomi yang mantap pada suku keempat 2021.

 

Kenanga Research pula menyemak semula unjuran KDNK tahun ini lebih rendah antara 3.5 hingga 4% berbanding 4 hingga 5% sebelum ini.

 

Bagi suku ketiga pula, firma itu mengunjurkan ekonomi akan mencatat pertumbuhan negatif antara -0.2 hingga 0.5% berbanding sebelum ini, 6.4%.

 

"Ini mencerminkan kesan daripada langkah sekatan fasa pertama di tengah-tengah kenaikan jangkitan COVID-19, yang mungkin akan menggoyahkan momentum kenaikan permintaan domestik pada separuh kedua dan mempengaruhi pertumbuhan suku ketiga," katanya.

 

Pada masa sama, ia juga optimis kadar vaksinasi yang tinggi akan membantu banyak negeri beralih kepada fasa keempat, sekali gus memperbaiki pertumbuhan suku keempat.

 

Kenanga Research berkata, prospek pertumbuhan masih bergantung kepada beberapa faktor dan sebahagiannya
menyamai unjuran BNM bagi pertumbuhan jangka pendek.

 

Antaranya, termasuklah kenaikan jangkitan di peringkat domestik dan global, kemungkinan kelonggaran sekatan pergerakan ditangguhkan, keberkesanan vaksin terhadap varian COVID-19, kemungkinan penurunan penarafan oleh agensi kredit dan ketidaktentuan situasi politik. 

 

"Namun, dengan mengambil kira asas yang rendah dan situasi pandemik dijangka stabil dengan ekonomi akan bertambah baik, kami menyemak semula unjuran KDNK 2022 lebih tinggi antara 5.5 hingga 6% berbanding 5.3% sebelum ini," katanya.

 

Firma itu pada masa sama juga menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman yang rendah pada 1.75% sepanjang tahun ini. - DagangNews.com