Sektor agrikomoditi sumbang RM103.74 bilion kepada eksport negara | DagangNews Skip to main content

Sektor agrikomoditi sumbang RM103.74 bilion kepada eksport negara

Sektor agrikomoditi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Sektor agrikomoditi negara menyumbang sebanyak 14.62% iaitu RM103.74 bilion kepada peratusan eksport negara setakat September 2020.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, peratusan signifikan tersebut berjaya dicapai meskipun negara sedang menghadapi situasi pandemik pada tahun ini.

 

"Secara keseluruhannya, sektor agrikomoditi menyumbang kepada sebahagian pendapatan eksport negara.

 

"Walaupun negara sedang menghadapi situasi pandemik pada tahun ini, sektor agrikomoditi masih menyumbang kepada peratusan eksport negara yang signifikan iaitu sebanyak 14.62%, setakat September 2020, bersamaan dengan RM103.74 bilion," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN-Parit) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Mohd. Nizar meminta beliau menyatakan pendapatan eksport produk agrikomoditi daripada keseluruhan pendapatan eksport negara bagi tahun 2010 hingga 2020.

 

Mohd. Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali

 

Mohd. Nizar turut meminta penjelasan berkaitan peningkatan harga agrikomoditi utama seperti harga purata minyak sawit mentah yang dijangka mencecah RM2,800/tan menjelang akhir tahun 2020 atau suku pertama tahun 2021.

 

Bagi tahun 2010 hingga 2015, jumlah pendapatan eksport produk agrikomoditi masing-masing berjumlah RM114.10 bilion, RM141.41 bilion, RM127.26 bilion, RM114.47 bilion, RM116.57 bilion dan RM117.10 bilion.

 

Manakala untuk tahun 2016 hingga 2019 pula, pendapatan eksport produk agrikomoditi masing-masing berjumlah RM122.58 bilion, RM140.06 bilion, RM127.86 bilion.

 

Menyentuh soal peningkatan harga agrikomoditi utama seperti harga purata minyak sawit mentah, beliau memberitahu, harga minyak sawit di pasaran adalah ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran terhadap produk berkenaan.

 

Selain itu, faktor asas (fundamental) dan sentimen pasaran (market sentiment) turut mempengaruhi pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran.

 

Mohd. Nizar Zakaria
Mohd. Nizar Zakaria 

 

Harga MSM kini sedang menunjukkan trend peningkatan yang begitu ketara dan telah melebihi paras RM2,800 se tan sebelum menjelang akhir tahun 2020 atau suku pertama tahun 2021.

 

Harga MSM kini telah melonjak kepada RM3,451.50 se tan pada 24 November 2020 berbanding paras terendahnya, iaitu RM2,021.50 se tan pada 12 Mei 2020 dengan peningkatan sebanyak RM1,430 atau 71%. 

 

Tambahnya, harga MSM pada 19 November 2020 juga telah mencapai harga tertinggi sejak lapan tahun lalu pada RM3,581.50.

 

"Peningkatan harga MSM ini telah menyebabkan harga buah tandan segar (BTS) sawit di kilang turut meningkat. 

 

"Harga pada 24 November 2020 ialah setinggi RM747.20 se tan (berdasarkan kadar perahan minyak - OER digred 20%) berbanding RM408 se tan pada 12 Mei," ujar beliau. - DagangNews.com