KUALA LUMPUR 18 Jun - Meskipun sektor hartanah mula menampakkan sinar pemulihan, tetapi perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu sedikit sebanyak menjejaskan sektor berkenaan.
Maybank Investment Bank (IB) Research bagaimanapun, kekal optimis bahawa sektor hartanah akan menunjukkan pemulihan tahun ini.
"Ini didorong oleh kadar faedah rendah dan permintaan yang kembali meningkat terhadap sektor ini yang menyaksikan jualan lebih tinggi apabila PKP dilonggarkan kelak," katanya dalam nota kajian.
Namun, firma itu percaya, kenaikan dalam sektor hartanah adalah terhad di sebalik tanda-tanda pemulihan.
Bagi suku kedua ini, Maybank IB menjangkakan jualan akan menurun bagi perbandingan suku ke suku memandangkan perjanjian jual beli ditangguhkan sehingga perintah sekatan ini ditamatkan.
Malah, firma itu menambah, industri tersebut tidak terkecuali berdepan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat dan kekurangan bahan mentah yang menyebabkan kenaikan harga, dan pada masa sama memperlahankan kerja-kerja pembinaan.
Pada suku pertama 2021, statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan jualan hartanah kembali meningkat 26% tahun ke tahun tetapi 6% lebih rendahh bagi suku ke suku disebabkan pelaksanaan PKP 2.0 pada Januari 2021.
Unit tidak terjual juga menunjukkan peningkatan, apabila susut 10% suku ke suku dan 17% tahun ke tahun pada suku pertama berikutan tawaran menarik yang disediakan pemaju di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang rendah.
Maybank IB mengekalkan pandangan 'neutral' dengan harga saham berkaitan sektor hartanah akan terus melonjak melebihi harga sasaran ditetapkan firma itu.
Sementara itu, Public Investment Bank Research menyemak semula saranan terhadap sektor hartanah kepada 'overweight' dengan ia menjangkakan penilaian akan bertambah baik apabila prajualan bermula.
Penganalisisnya, Tan Siang Hing berkata, pemulihan sektor hartanah pada 2019 yang baru bermula bagaimanapun berdepan pandemik COVID-19 pada awal tahun lalu sekali gus menyebabkan sektor ini kurang menarik, terjejas akibat isu tekanan ekonomi, kemampuan dan juga lebihan bekalan.
"Bagaimanapun, pemain industri kini lebih berdaya mapan setelah berdepan masalah inventori tahun lalu, dan terbukti menunjukkan kedudukan yang kukuh walaupun beberapa bulan tidak mempunyai pendapatan disebabkan sekatan pergerakan," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga percaya sektor hartanah masih mempunyai banyak ruang untuk berkembang apabila ekonomi kembali pulih pada separuh kedua tahun ini dan mencapai imuniti kelompok menjelang akhir 2021.
"Malah, kami yakin tanpa sebarang kejutan 'luaran', prajualan dan jualan akan kembali pulih pada tahap 2019, sebelum kedatangan pandemik ini," tambahnya lagi.
Menurut beliau, sektor hartanah yang suatu ketika dulu bertebaran, kini lebih tertumpu dengan pemain hartanah utama seperti S P Setia Bhd., Sime Darby Property Bhd., Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld), IOI Properties Group Bhd. dan Gamuda Land Bhd., menguasai sebahagian besar jumlah jualan baharu.
"Pemain-pemain ini akan mendapat manfaat paling banyak apabila sektor ini kembali pulih dengan kelebihan dari segi skala dan kedudukan bank tanah yang strategik dan juga kos pegangan rendah," katanya. - DagangNews.com