Sektor swasta digesa main peranan tingkatkan pembangunan sukan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sektor swasta digesa main peranan tingkatkan pembangunan sukan Malaysia

Hannah Yeoh (empat, kanan) bersama para pemenang Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin di Pusat Badminton Sunsuria-Pioneer di Kota Damansara, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Pakar acara badminton terkenal, Pioneer Sports Management (M) Sdn Bhd menggesa sektor swasta supaya proaktif dalam menerajui lebih banyak acara dan perlawanan peringkat akar umbi untuk membawa industri sukan negara ke peringkat seterusnya.

 

Pengarah Pioneer Sports Management, Chan Chong Ming berkata, acara sukan akar umbi diterajui sektor swasta secara tidak langsung dapat membantu mengenal pasti dan memupuk bakat muda berpotensi, yang bakal menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam melahirkan juara, bukan sahaja dalam badminton tetapi juga dalam semua kategori.

 

Beliau berkata, pihaknya sentiasa percaya pembangunan sukan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

 

Katanya, tidak kira apa industri mereka, sektor swasta harus bekerjasama dengan komuniti sukan tempatan dan kementerian untuk menerajui acara sukan yang menarik minat mereka.

 

"Acara itu tidak seharusnya terhad kepada peringkat negeri atau seluruh negara. Ia boleh menjadi acara antarabangsa yang mana peserta asing dialu-alukan untuk menyertainya. 

 

"Ini dapat menyediakan bakat muda dengan platform untuk mengasah kemahiran dan daya tahan mereka," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini mengatakan penglibatan sektor swasta adalah penting kerana pembiayaan kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk pembangunan sukan di Malaysia.

 

Menurut Chan, sektor swasta boleh menganggap penglibatan mereka dalam sukan sebagai tanggungjawab sosial di samping menggiatkan semula industri sukan negara dengan pelbagai kejohanan yang boleh disertai atlet khususnya atlet muda. 

 

"Usaha dalam menerajui kejohanan badminton peringkat akar umbi untuk memupuk bakat-bakat muda yang menyinar harus dipuji. Kami berharap ini akan mendorong lebih banyak syarikat swasta untuk memainkan peranan dalam pembangunan sukan negara,” katanya.

 

Sementara itu, syarikat menganjurkan Kejohanan Badminton Antarabangsa Daikin untuk tahun keempat yang berlangsung di Pusat Badminton Sunsuria-Pioneer di Kota Damansara, baru-baru ini.

 

Kejohanan empat hari itu menarik lebih 1,500 peserta dari pelbagai negeri dan semua lapisan masyarakat. 

 

Pioneer Sports diterajui bekas pemain kebangsaan, termasuk Wong Choong Hann sebagai pengarah kejurulatihan semasa untuk pasukan badminton kebangsaan Malaysia, Chew Choon Eng, Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming sentiasa aktif dalam mencungkil bakat muda berpotensi tinggi. - DagangNews.com