KUALA LUMPUR 14 Jan - Malaysia komited dalam melaksanakan peralihan tenaga ke arah industri bekalan elektrik yang rendah karbon, selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih pada 2050.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menerusi penganjuran Bengkel Kerjasama Tenaga Malaysia-Korea Selatan Ke-10 dapat memperkukuhkan hubungan dua hala dalam sektor tenaga.
"Bengkel ini menyediakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai usaha kedua-dua negara dalam peralihan tenaga serta meneroka peluang dan potensi kerjasama dalam sektor tenaga elektrik bersama pihak industri dari Korea Selatan.
"Sepanjang tempoh pelaksanaan kerjasama ini, Malaysia mendapat manfaat dari aspek pembangunan modal insan serta kepakaran teknikal melibatkan agensi kerajaan dan swasta terutamanya dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga serta aplikasi dan teknologi nuklear," katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin turut mempelawa syarikat Korea Selatan yang berpangkalan di Malaysia merebut peluang untuk melanggan Tarif Tenaga Hijau (Green Energy Tariff (GET)) demi memenuhi komitmen 'Environmental, Social and Corporate Governance' (ESG).
Pada bengkel itu, Takiyuddin dan Duta Besar Korea Selatan turut menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian untuk berkolabrasi antara Confreth Sdn. Bhd. dengan Konsortium Korea dalam projek pembangunan teknologi bangunan cekap tenaga.
Bengkel tahunan itu merupakan anjuran kementerian tersebut dan Kedutaan Korea Selatan yang dihadiri wakil daripada agensi kerajaan dan swasta di Malaysia dan secara dalam talian daripada wakil agensi dan institusi tenaga serta syarikat dan industri dari Korea Selatan. - DagangNews.com