Selangor, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur catat prestasi KDNK lebih baik pada 2023 berbanding peringkat nasional - DOSM | DagangNews Skip to main content

Selangor, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur catat prestasi KDNK lebih baik pada 2023 berbanding peringkat nasional - DOSM

Selangor mengungguli prestasi KDNK 2023 dengan peningkatan 5.4 peratus.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Julai - Empat negeri merekodkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 yang lebih baik berbanding pencapaian di peringkat nasional pada tahun sebelumnya, berdasarkan perangkaan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi negeri yang berprestasi lebih baik itu adalah Selangor yang mencatatkan pertumbuhan KDNK 5.4%, diikuti Pahang (5.2%), Johor (4.1%) dan Kuala Lumpur (3.7%).

 

"Bagaimanapun Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama, menyumbang 67.7% kepada ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya adalah sebanyak 3.6% dengan nilai ditambah berjumlah RM1.6 trilion. 

 

Mohd Uzir berkata, prestasi ekonomi Selangor, Pahang dan Johor dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan manakala sektor perkhidmatan di Selangor dan Johor berkembang masing-masing 6.1% dan 5.4% didorong pertumbuhan subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi. 

 

Beliau berkata, bagi Pahang, pengembangan sektor ini sebanyak 6% disokong oleh perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan manakala pengembangan sektor pembuatan sebanyak 2% di Selangor pula disebabkan pertumbuhan subsektor peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (6.2%) serta produk minyak & lemak daripada sayuran & haiwan dan pemprosesan makanan (10.3%). 

 

kdnk

 

"Bagi Johor, sektor pembuatannya meningkat 2.8% didorong pertumbuhan produk elektrik, elektronik dan optikal (2.9%) manakala di Pahang, pertumbuhan 6.7% bagi produk petroleum, kimia, getah dan plastik telah menyumbang kenaikan 2.1% bagi sektor pembuatan negeri ini. 

 

"Sementara itu, pengembangan ekonomi Kuala Lumpur sebanyak 3.7% dipacu oleh sektor perkhidmatan yang merupakan tonggak utama ekonomi negeri ini. 

 

"Sektor ini bertumbuh 4.9%, disokong perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan," katanya. 

 

Beliau berkata, Pulau Pinang yang merupakan pengeluar utama produk elektrik dan elektronik negara merekodkan kejatuhan sektor pembuatan sebanyak 0.5% disebabkan penyusutan pengeluaran produk berkenaan sebanyak 0.8%. 

 

Bagaimanapun katanya, pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 6% mengimbangi kejatuhan ini, sekali gus meningkatkan KDNK Pulau Pinang kepada 3.3%. 

 

"Pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal di Kedah yang merupakan pengeluar keempat terbesar negara turut merosot sebanyak 4.6% sehingga menyebabkan kejatuhan sektor pembuatan negeri ini kepada 3.2%. 

 

"KDNK negeri ini bagaimanapun meningkat 1.6%, dipacu peningkatan sektor perkhidmatan sebanyak 4%, disokong perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan yang bertumbuh 5.3%," katanya.

 

Mohd. Uzir berkata, prospek ekonomi Malaysia bagi tahun 2024 berdasarkan Indeks Pelopor dari Januari hingga April 2024 menunjukkan prestasi ekonomi akan mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat disebabkan oleh peningkatan dalam semua komponen kecuali Import Benar Semi Konduktor.

 

Beliau berkata, pertumbuhan berterusan juga dapat dilihat melalui prestasi KDNK suku pertama tahun 2024 yang lebih baik dengan pertumbuhan 4.2% berbanding 2.9% pada suku tahun sebelumnya. 

 

"Bagaimanapun, cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi global dan ketidakstabilan harga komoditi kekal sebagai faktor penting yang mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia," katanya. - DagangNews.com