Selangor peruntuk RM2 juta beli dron pantau sungai | DagangNews Skip to main content

Selangor peruntuk RM2 juta beli dron pantau sungai

Dron MJI Matrice 300. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan wang berjumlah RM2 juta bagi membeli empat unit dron berteknologi tinggi bagi memantau keadaan sungai di negeri berkenaan.

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal selain Islam negeri, Hee Loy Sian berkata, dron model MJI Matrice 300 yang akan dibeli itu akan diuruskan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS.

"Dron ini akan digunakan untuk memantau Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat. Dron yang akan digunakan ini juga berkeupayaan untuk mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat.

“Malah ia juga dapat mengesan individu pada waktu malam termasuk memberi amaran awal jika terdapat aktiviti yang mencurigakan, dengan adanya teknologi ini kita jangka dapat cegah aktviti pencemaran sungai di Selangor pada masa akan datang,” katanya seperti dilapor Bernama.

Mengulas berkaitan dengan masalah gangguan bekalan air yang berlaku semalam, beliau memberitahu, pihaknya tidak menolok kemungkinan bahawa ada unsur sabotaj yang menyebabkan pencemaran tersebut berlaku.

 

Baca: Rakyat Lembah Klang marah, bekalan air terputus lagi

 

Katanya, ini kerana pencemaran berlaku pada waktu malam dan pada Ahad yang kebiasaannya kilang tidak beroperasi.

Bagaimanapun, pihaknya telah membuat laporan polis untuk mendapatkan kesahihan berkenaan.

Beliau turut menyentuh soal cadangan untuk mengubah enakmen LUAS yang sedia ada berhubung hukuman kepada pesalah pencermaran sungai.

"Sekarang denda yang dikenakan RM100,000 atau penjara, kita mahu denda sedia ada dinaikkan kepada RM200,000 hingga maksimum RM1 juta dan pesalah turut dikenakan penjara tidak lebih setahun. 

"Kita juga akan bagi ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berhubung aktiviti pencemaran sungai dan maklumat mereka (pemberi maklumat) akan dirahsiakan. Cadangan ini akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor akan datang," tambahnya lagi. 

Semalam, DagangNews.com melaporkan Loji Rawatan Air Selangor (LRA) Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor. - DagangNews.com