Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Mac - Berjaya Corporation Berhad (BCorp) mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baru dilantik 16 Mac lalu, Abdul Jalil Abdul Rasheed memperoleh 70 juta saham BCorp. dengan nilai 28 sen sesaham, berjumlah 1.4% di syarikat tersebut.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, BCorp berkata, pengambilalihan kepentingan ekuiti itu mencerminkan tadbir urus korporat yang baik.
"Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan dan pemegang saham minoriti, beliau akan bertindak demi kepentingan terbaik syarikat dan pelbagai pihak berkepentingan, meletakkan hala tuju terbaik dalam mengubah kumpulan menjadi organisasi berprestasi tinggi dan meningkatkan nilai kepada pemegang saham," katanya.
Abdul Jalil dalam kenyataan itu juga menyifatkan sebagai pemegang saham dan CEO membolehkannya untuk melaksanakan perubahan dengan insentif yang tepat.
"Saya mengambil peranan sebagai CEo untuk melakukan transformasi ke atas BCorp.
"Berdasarkan pengalaman saya, projek sebensar ini boleh dicapai dengan baik apabila pemimpin diberi insentif sebaiknya dan selaras dengan semua pemegang saham minoriti.
"Malah, ia juga merupakan suara keyakinan di dalam syarikat, dan menunjukkan betapa seriusnya kita dalam dalam fasa penginstitusian yang sedang dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, menerusi makluman berasingan di Bursa Malaysia hari ini juga, BCorp melaporkan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Vincent Tan melupuskan 70 juta saham melalui transaksi perniagaan secara langsung.
Berikutan pelupusan itu, Vincent memiliki kepentingan langsung sebanyak 25.71% atau 2.59 bilion saham dalam BCorp.
Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu mengambil alih jawatan CEO daripada Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching, 46, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif konglomerat berkenaan.
Menerusi kenyataan 16 Mac lalu, BCorp memberitahu, Abdul Jalil akan bekerjasama dengan Vincent dan Robin sebagai jawatankuasa eksekutif untuk terlibat dalam semua proses membuat keputusan strategik serta merancang hala tuju perniagaan masa depan BCorp.
Syarikat itu memaklumkan, mandat Abdul Jalil ialah untuk meneliti semula struktur korporat BCorp., mengoptimumkan kewangan dan sumber manusia, meningkatkan sinergi dan kecekapan serta tadbir urus korporat dan ketelusan.
Beliau membawa pengalaman selama 18 tahun dalam pelaburan dan kepemimpinan perniagaan selepas bekerja di United Kingdom, Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura bersama syarikat pelaburan global iaitu Aberdeen Standard Investments dan Invesco Limited. - DagangNews.com