Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi ketika mengadakan lawatan ke kilang pengeluaran Al-Haj Automotive di Karachi, Pakistan.
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) terus mengorak langkah ke hadapan menerusi pengeluaran pertama Saga pada 13 Oktober lalu di Pakistan menerusi rakan pengedar eksklusifnya, Al-Haj Automotive.
Selepas Saga, X70 yang dijual sebagai unit CBU pada mulanya, akan menyaksikan SUV segmen-C menjadi model kedua yang akan dipasang oleh Al-Haj Automotive dengan jangkaan pelancaran dijadualkan pada Disember 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Haj Automotive, Hilal Khan Alfridi menyifatkan kejayaan pemasangan Proton Saga di Pakistan merupakan kemuncak kerja keras dan usaha yang tidak kenal penat lelah oleh Proton, keseluruhan pasukan Al-Haj dan pembekalnya.
"Walaupun dengan segala kesukaran dalam penguatkuasaan menangani COVID-19, kami terus berusaha untuk membina kilang baharu.
"Dengan itu, kami berkeyakinan ia akan mencatatkan piawaian industri baharu dan membolehkan kami untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh pihak Proton," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran pengeluaran pertama itu yang disempurnakan oleh Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi.
Kilang pengeluaran baharu di Karachi ini dibina dengan kos berjumlah AS$20 juta. Dengan kapasiti awal tahunan sebanyak 25,000 unit setahun, potensi jualan pasaran Pakistan menjadikan ia adalah kritikal bagi rancangan Proton untuk berkembang di pasaran eksport pada masa hadapan.
Dilancarkan pada Disember 2020, Proton X70 mendapat liputan meluas di Pakistan kerana kombinasi reka cipta, teknologi dan ciri keselamatannya.
Sebelum bermulanya pemasangan tempatan, sebanyak 154 unit terakhir Proton X70 telah dihantar pada 17 Oktober lalu, menjadikan jumlah eksport model CBU ke negara tersebut adalah sebanyak 602 unit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, walaupun COVID-19 banyak mempengaruhi operasinya di Pakistan, namun permintaan bagi model Proton di negara tersebut masih kekal tinggi dengan kedua-dua model Proton Saga dan X70 menarik sokongan yang kuat.
Katanya, pihak Al-Haj telah menerima sebanyak 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih daripada 2,000 unit tempahan bagi X70.
"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan kerana kepercayaan kepada produk dan juga kesabaran dan bertimbang rasa akan situasi yang menyebabkan kelewatan dalam penghantaran kenderaan mereka," katanya.
Menurut beliau, dengan penghantaran terakhir unit CBU dalam perjalanan dan pemasangan tempatan telah bermula bagi Saga dan X70 akan dihasilkan sebelum akhir tahun ini, Proton akhirnya dapat mengorak langkah ke hadapan untuk memenuhi permintaan pasaran.
"Ini akan memberi ruang bagi Al-Haj Automotive dan Proton untuk mewujudkan keberadaan yang kuat di pasaran negara tersebut demi faedah pertumbuhan jualan masa hadapan,” tambahnya.
Roslan berkata, dengan jualan eksport menjadi pengukuh untuk mencapai hasrat jangka masa panjang, komitmen Proton kepada pasaran di Pakistan menjangkau penghantaran CKD dan alat ganti yang lain.
"Ia juga meliputi sokongan sumber manusia dan hari ini, seramai 20 kakitangan Proton yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang berkaitan pengilangan ditempatkan di Karachi untuk membantu dalam proses pemasangan," katanya. - DagangNews.com