Semakan status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat mulai 18 Sept 2021 | DagangNews Skip to main content

Semakan status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat mulai 18 Sept 2021


PUTRAJAYA 17 Sept - Kementerian Kewangan memaklumkan orang ramai boleh menyemak status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mulai 18 September 2021 di Portal BPR, https://bpr.hasil.gov.my.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran rayuan BPR ini akan melibatkan hampir 200 ribu penerima BPR dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

 

Menurutnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung September 2021 bersekali dengan penerima bayaran BPR Fasa 3.

 

Beliau berkata, kerajaan telah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui permohonan rayuan BPR yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun 2021.

 

''Permohonan rayuan ini telah disahkan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan 
oleh golongan yang benar-benar layak.

 

''Kerajaan berharap bantuan tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini boleh membantu keluarga Malaysia menampung dan 
menguruskan perbelanjaan penting mereka,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Tengku Zafrul berkata, selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR ini, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan yang lulus rayuan BPR menyertai Program Jaringan Prihatin.

 

''Oleh itu, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program ini akan dilanjutkan sehingga 30 September 2021 Pelanjutan ini juga bertepatan dengan situasi semasa dan memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar dan menebus telefon mereka di kedai secara fizikal,'' ujarnya.

 

Kerajaan kata beliau, sentiasa komited untuk memastikan program yang disediakan menepati kehendak golongan sasar dan memudahkan pembelajaran anak-anak golongan B40 mendapatkan pakej telekomunikasi ataupun pakej peranti mudah alih.

 

''Sokongan ini diharapkan dapat menjamin pembelajaran yang lebih lancar dan kondusif,'' ujar beliau. - DagangNews.com