SEMICON Sea 2022 berlangsung 21-23 Jun di Pusat Konvensyen Setia SPICE di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

SEMICON Sea 2022 berlangsung 21-23 Jun di Pusat Konvensyen Setia SPICE di Pulau Pinang

SEMICON SEA 2022 akan diadakan Pusat Konvensyen Setia SPICE di Pulau Pinang bermula 21 Jun hingga 23 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 20 Jun - SEMICON Asia Tenggara 2022, perhimpunan terulung industri semikonduktor dan mikroelektronik di rantau ini, akan dibuka esok (21 Jun) apabila pakar-pakar berkumpul dan bersidang untuk mendapatkan pandangan tentang trend industri, perkembangan dan inovasi terkini, kata Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

 

Dalam satu kenyataan di laman webnya, SEMI berkata pameran itu kembali ke Pusat Konvensyen Setia SPICE di Pulau Pinang buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun berikutan wabak COVID-19.

 

SEMI berkata, acara 21-23 Jun itu akan menghubungkan syarikat peralatan pembuatan semikonduktor, rakan kongsi swasta dan awam, serta pemegang kepentingan industri utama lain untuk meneroka peluang kerjasama dan pertumbuhan baharu.

 

Kumpulan itu berkata SEMICON Asia Tenggara 2022 akan memperingati tahun ke-50 kecemerlangan pembuatan Malaysia dan meraikan reputasi Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon di Timur.

 

Pameran dan persidangan itu dijangka menarik lebih 10,000 hadirin dan akan menampilkan dua pavilion bertema, dua pavilion global dan forum teknologi untuk menangani isu dan trend rantaian bekalan pembuatan elektronik utama.

 

Penceramah akan termasuk:

  • Ajit Manocha, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SEMI

  • Datuk Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Malaysia (MIDA)

  • KC Ang, Pengerusi Lembaga Penasihat Serantau SEMI SEA dan Naib Presiden Kanan Operasi Fab Global di GlobalFoundries Singapura

  • Tim Archer, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lam Research - Masa Depan Inovasi dan Kerjasama: The Semiverse

  • Irving Tan, Naib Presiden Eksekutif Operasi Global di Western Digital

  • Herbert Blaschitz, Naib Presiden Eksekutif, ATF, di Exyte Singapore

  • Chan Ping Chong, Naib Pengerusi Lembaga Penasihat Serantau SEMI Asia Tenggara, dan Naib Presiden Eksekutif Pembuatan Pintar dan Pengurus Besar Produk dan Penyelesaian di Kulicke & Soffa, Singapura

  • Glen Brownlie, Naib Presiden Operasi Malaysia di ams-Osram Malaysia. - DagangNews.com