Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Jan. - Majikan yang menyalah guna Program Subsidi Upah (PSU) perlu disenarai hitam atau membayar ganti rugi yang setimpal.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pemeriksaan perlu dilakukan secara berkala bagi mengelakkan PSU disalah guna secara berleluasa.
Tegasnya, tindakan ini amat penting terutama dengan mengambil kira situasi ketika ini apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula yang mungkin menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan.
"Secara keseluruhan, program yang dilaksanakan kerajaan ini adalah baik tetapi majikan yang mengambil kesempatan ini perlu dikenakan tindakan.
"Selain pemantauan berterusan, ia juga boleh memastikan majikan yang mengambil subsidi ini memenuhi syarat ditetapkan Perkeso," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Baca : Majikan ambil subsidi upah, jujurlah!
Pada November lalu, Kementerian Sumber Manusia menerima 388 aduan daripada pekerja membabitkan salah guna PSU oleh majikan membabitkan dana hampir RM20 juta.
Sehingga 11 November lalu, Perkeso juga sudah mengenalpasti 156 kes tuntutan palsu dan salah guna PSU.
Menurut Mohd. Effendy, pada masa sama, Perkeso boleh menjalankan pemantuan secara rawak terhadap pekerja yang berhenti sama ada mereka dipaksa berhenti atau secara sukarela.
Ini kerana katanya, terdapat kes-kes tertentu ada pekerja yang diminta berhenti dan majikan tidak memaklumkan kepada Perkeso ketika memohon dana tersebut.
"Saya meminta mana-mana pekerja yang berdepan masalah ini sila tampil buat laporan dan jangan berdiam diri kerana kami akan bantu mereka yang teraniaya.
"Tetapi, dalam masa sama, saya faham ada pekerja yang tidak berani tampil ke hadapan dan ini menyukarkan tindakan diambil," katanya.
Di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), kerajaan menambah baik PSU dengan peruntukan tambahan RM1 bilion yang boleh memanfaatkan 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.
Inisiatif ini membolehkan semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak memohon, tanpa mengambil kira sektor. - DagangNews.com