Sentimen pengguna lebih baik didorong pertambahan peluang pekerjaan | DagangNews Skip to main content

Sentimen pengguna lebih baik didorong pertambahan peluang pekerjaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Indeks Sentimen Pengguna (CSI) melonjak mengatasi paras neutral buat kali pertama sejak 3Q18 bagi suku pertama tahun ini dan ia didorong oleh prospek pekerjaan masa hadapan lebih baik.

 

Public Investment Bank Berhad berkata, indeks itu meraih11.7 mata untuk mengakhiri suku pertama tahun ini dengan 108.9 mata lebih baik berbanding 4Q21 iaitu 97.2 mata. 

 

Firma itu berkata, penurunan kadar pengangguran dan prospek pekerjaan yang lebih baik termasuk mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan pada 2022 menerusi inisiatif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta Jamin Kerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi faktor utama peningkatan sentimen itu.

 

"Sentimen pengguna bertambah baik dengan adanya bantuan meningkatkan pendapatan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu selain pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

"Ia ditambah lagi dengan usaha fiskal untuk memastikan kos sara hidup terurus terutamanya had harga petrol bagi Ron95 dan Diesel.

 

"Sentimen juga menjadi lebih baik dengan pemulohan COVID-19, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan perbelanjaan pembangunan oleh kerajaan pada 2021 dan 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, sentimen itu dijangka bertambah baik dengan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi pada Mei 2022 dan ksemua perniagaan boleh beroperasi pada kapasiti penuh.

 

"Penciptaan pekerjaan yang pesat pada tahun 2022 berikutan pelbagai inisiatif swasta-awam akan menjadi satu lagi faktor yang boleh menaikkan sentimen.

 

"Sentimen keseluruhan akan didorong oleh prospek pertumbuhan yang menggalakkan berikutan pemulihan ekonomi yang mendadak pada tahun 2022 dengan hasilnya dijangka mengatasi paras sebelum pandemik," katanya.

 

Sementara itu, Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) menurun sebayak 21 mata pada suku pertama tahun ini untuk berada pada para 101 mata dan ia dipegaruhi oleh peningkatan kes COVID-19 harian.

 

"Sentimen itu juga diburukkan lagi oleh kekurangan tenaga pekerja dan ketidaktentuan pembukaan semula sempadan antarabangsa selain gangguan rantaian bekalan global, kekurangan bahan mentah serta peningkatan kos," katanya. - DagangNews.com