Sentimen positif vaksin ‘hilang’, KLCI kembali bawah 1,600 | DagangNews Skip to main content

Sentimen positif vaksin ‘hilang’, KLCI kembali bawah 1,600

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Sentimen positif terhadap penemuan vaksin COVID-19 di Wall Street yang pudar mendorong pasaran tempatan untuk kembali mencecah paras di bawah 1,600. 

 

Para pelabur di Wall Street meletakkan kebimbangan terhadap kes COVID-19 yang kian meningkat melebihi berita penemuan COVID-19 yang semakin positif. 

 

Ini seterusnya menjadikan pasaran saham Asia dibuka tidak menentu pada awal dagangan. 

 

Setakat 9.01 pagi, KLCI mencecah paras 1,594.74, merudum sebanyak 10.01 mata atau 0.62% daripada paras ditutup semalam iaitu 1,604.75.

 

Rakuten Trade Research berkata, kaunter sarung tangan getah akan berterusan menyaksikan ketidaktentuan hari ini memandangkan berita penemuan vaksin COVID-19 hampir menjadi realiti. 

 

“KLCI ‘bergantung’ pada paras 1,600 semalam, dan mungkin menyaksikan tekanan hari ini sekali gus mencecah paras sokongan 1,590. 

 

“Sementara itu, kami mendapati (harga) minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh dan hasil baik yang ditonjolkan oleh peladang mungkin mampu menarik minat semula ke dalam sektor itu,” kata Rakuten Trade. 

 

Pfizer Inc. mengatakan bahawa percubaan akhir vaksin COVID-19 yang ditemukan syarikat itu berkesan sehingga 95% berbanding 90% sebelum ini. 

 

Ini sekali gus membolehkan syarikat itu memohon kebenaran kawal selia Amerika Syarikat (AS) yang pertama untuk suntikan vaksin COVID-19 pada minggu ini. 

 

Sementara itu, BioNTech SE mengatakan bahawa vaksin mereka boleh melindungi rakyat tanpa kira umur dan etnik serta tiada isu keselamatan signifikan setakat ini, di mana ujian vaksin itu dilakukan ke atas 44,000 sukarelawan. - DagangNews.com