Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 53,896 bersamaan 95.7 peratus ketua isi rumah yang terlibat dengan bencana banjir menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 sehingga pukul 1 petang tadi.
"Kepada mereka yang masih belum mendaftar, boleh segera hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pegawai Daerah untuk bantuan segera Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi satu ciapan di laman Twitter, hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia, antaranya meliputi BWI sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah berbanding RM500 sebelum ini.
Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Disember tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri.
Semalam, Ismail Sabri memberikan sumbangan BWI RM1000 kepada mangsa banjir di Parlimen Bera yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan bukan PPS.
Perdana Menteri memaklumkan, seramai 465 ketua isi rumah yang menerima bantuan adalah kumpulan yang terakhir di Bera menjadikan 100 peratus penerima. - DagangNews.com