Serba Dinamik catat rugi bersih RM292.6 juta pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik catat rugi bersih RM292.6 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR 28 Feb - Serba Dinamik Holdings Bhd. merekodkan kerugian bersih sebanyak RM292.6 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021. 

 

Pendapatan syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu kejuruteraan global itu pula berjumlah RM177.1 juta bagi tempoh berkenaan, menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) merupakan penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan, sebanyak RM141.8 juta atau 80% daripada jumlah pendapatan. 

 

Ini disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan (IRM), yang menyumbang terutamanya daripada operasi di rantau Asia Barat seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), diikuti Malaysia.

 

Bagi segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pula, ia menjadi penyumbang kedua terbesar kumpulan dengan RM30.4 juta atau 17.2% daripada jumlah pendapatan, terutamanya menerusi kontrak di UAE, Tanzania dan Malaysia.

 

Sementara itu, segmen teknologi komunikasi dan maklumat serta pendidikan dan latihan masing-masing menyumbang sebanyak RM2.7 juta dan RM2.3 juta. 

 

Dari segi geografi, rantau Asia Barat merupakan penyumbang utama kepada hasil kumpulan, sebanyak RM90.6 juta atau 51.1% daripada jumlah pendapatan pada suku kedua terutamanya menerusi Qatar dan UAE masing-masing sebanyak RM58.8 juta dan RM30.6 juta.

 

Rantau Asia Tenggara pula menyumbang sebanyak RM64 juta atau 36.1% sebagai penyumbang kedua terbesar kumpulan menerusi Indonesia dan Malaysia masing-masing sebanyak RM44.1 juta dan RM19.9 juta. 

 

Seterusnya, rantau Asia Tengah dan Selatan memberikan hasil sebanyak RM9.9 juta atau 5.6%, yang kebanyakannya diperoleh dari Turkmenistan.

 

Tanzania dan United Kingdom juga masing-masing menyumbang hasil sebanyak RM9.2 juta dan RM3.5 juta pada suku semasa.

 

Mohd. Abdul Karim Abdullah
Mohd. Abdul Karim Abdullah

 

 

Mengulas mengenai prestasi ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Ir. Ts.Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, kejatuhan besar harga niaga hadapan minyak mentah selama 2 bulan berturut-turut sejak November lalu disebabkan ketidaktentuan pasaran dan semakin meningkatnya situasi tidak menentu mengenai impak varian Omicron terhadap ekonomi global dan permintaan minyak.

 

"Bagaimanapun, disebabkan ketegangan geopolitik baru-baru ini dan permintaan minyak yang berdaya tahan, konsensus telah menaikkan unjuran harga minyak daripada AS$75 setong kepada AS$80 setong dan pemangkin penarafan semula ini akan memanfaatkan operasi kumpulan dalam segmen O&M dan EPCC," katanya.

 

Beliau juga memberitahu, kesemua resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 31 Januari lalu, menunjukkan keyakinan pemegang saham terhadap kumpulan di sebalik status Nota Amalan 17 (PN 17). 

 

"Malah, lembaga pengarah yakin pelan penstrukturan semula dan penyusunan semula akan memanfaatkan pemegang saham dalam tempoh jangka masa panjang," jelasnya. 

 

Tambahnya, pada masa ini, lembaga pengarah telah mendapatkan bantuan pengurusan kehakiman mahkamah. - DagangNews.com