Serba Dinamik lantik firma bebas tangani isu audit KPMG | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik lantik firma bebas tangani isu audit KPMG

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Serba Dinamik Holdings Bhd. telah melantik firma bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit luarannya dan untuk melaporkan hasil penilaian tersebut kepada jawatankuasa bebas yang ditubuhkan.

 

Dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama, Serba Dinamik berkata, jawatankuasa itu tidak akan mempunyai perwakilan daripada pengurusan bagi memastikan kebebasannya.

 

KPMG dalam auditnya membangkitkan isu berkaitan transaksi jualan, pemberi hutang dan pemiutang hingga berjumlah lebih RM3 bilion.  

 

Susulan itu, pada 28 Mei, Datuk Abdul Kadier Sahib, yang juga pemegang saham kedua terbesar Serba Dinamik dan pengarah bukan bebas bukan eksekutif mencadangkan supaya KPMG digantikan dengan BDO PLT dengan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

 

Bagaimanapun, semalam, beliau menarik semula kenyataan itu setelah mempertimbangkan kebimbangan pemegang saham dan pihak berkepentingan yang selama ini memberi sokongan kepada syarikat.

 

Serba Dinamik berkata, lembaga pengarah menerima notis pembatalan itu dan menyatakan perkara itu ditutup.

 

"Yakinlah bahawa kami akan memastikan tadbir urus korporat syarikat berada pada tahap tertinggi dan kami tetap berdikari dalam melaksanakan tanggungjawab kami.

 

"Kami juga dengan rendah diri memohon pemahaman dan sokongan daripada pemegang saham dan pihak berkepentingan agar syarikat dapat menangani situasi ini dan kami percaya lembaga pengarah, pengurusan dan syarikat akan secara konsisten memberi nilai kepada syarikat sejak tawaran awam permulaan (IPO) kami pada 2017," katanya.  

 

Ketika ditutup petang ini, saham Serba Dinamik menokok 1.21% kepada 83.5 sen sesaham dengan pasaran modal bernilai RM3.10 bilion. - DagangNews.com