Serba Dinamik pertimbang lantik 4 ahli bebas jalankan audit  | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik pertimbang lantik 4 ahli bebas jalankan audit 

 

 

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Serba Dinamik Holdings Bhd. dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membentuk firma bebas atau jawatankuasa, terdiri daripada 4 ahli bagi menyemak semula isu yang dibangkitkan juruauditnya, KPMG sejak 2 minggu lalu.

 

Menurut sumber seperti dilaporkan The Malaysian Reserve (TMR), Serba Dinamik dijangka memuktamadkan pemilihan calon berkenaan dalam tempoh terdekat. 

 

Difahamkan, ia berada di peringkat akhir dan akan diumumkan minggu ini.

 

"Ahli jawatankuasa ini terdiri sepenuhnya daripada 'orang luar' syarikat bagi memastikan hasil yang diperoleh adalah bebas dan berwibawa," katanya.

 

Sumber itu memberitahu, salah satu nama yang dikaitkan ialah seorang ahli akademik yang juga memegang jawatan pengarah di pelbagai agensi milik kerajaan dan lembaga pengarah syarikat swasta.

 

Selain itu, katanya, calon lain turut melibatkan bekas pegawai tinggi kerajaan yang juga telah membantu menubuhkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

"Jawatankuasa bebas ini akan dianggotai ahli-ahli yang memiliki pengalaman luas dalam audit dan juga keusahawanan. Mereka akan melihat semua perkara dibangkitkan juruaudit dalam semua aspek," katanya lagi.

 

Baca : Serba Dinamik jadi sasaran? 

 

Baca : Serba Dinamik lesap RM3.15 bilion minggu lalu

 

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan itu yang beroperasi di lebih 20 buah negara berdepan konflik dengan KPMG berhubung laporan kewangan bagi tahun kewangan 2020.

 

Malah, KPMG merupakan juruaudit syarikat sejak 2013 lagi.

 

Antara perkara dibangkitkan KPMG termasuklah transaksi perniagaan yang meragukan dan tidak dapat disahkan bernilai RM3.5 billion melibatkan 11 pelanggan Serba Dinamik.

 

Susulan itu, pemegang saham kedua terbesar, Datuk Abdul Kadier Sahib kemudian mencadangkan Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) dijalankan untuk menukar KPMG kepada BDO PLT.

 

Beliau bagaimanapun membatalkan hasrat tersebut apabila pemegang saham institusi, Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mula menyuarakan kebimbangan mereka terhadap isu yang melanda Serba Dinamik.

 

Dalam laporan itu juga, sumber lain memberitahu TMR, lembaga pengarah Serba Dinamik dalam proses untuk membentuk jawatankuasa bebas untuk memantau 'forensik audit'.

 

"Tidak ada ahli lembaga pengarah dari syarikat akan terlibat dalam kumpulan bebas ini. Pengecualian ini untuk memberi jaminan kepada masyarakat bahawa forensik audit ini dipantau secara bebas," katanya. 

 

Setakat 11.10 pagi ini, saham Serba Dinamik yang muncul antara kaunter aktif didagangkan, menokok 2.42% kepada 63.5 sen sesaham.- DagangNews.com