MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
SATU lagi minggu yang panas membara di Serba Dinamik Holdings Berhad dengan dua ahli lembaga pengarah termasuk pengerusi meletak jawatan secara mendadak.
Tiada usaha menyorok perasaan dengan kedua-duanya mendakwa syarat yang dikenakan Bursa Malaysia ke atas Serba Dinamik telah menghalang mereka daripada melaksanakan tugas secara adil sebagai pengarah bebas syarikat tersebut.
Menerusi surat perletakan jawatan bertarikh 22 November lalu kepada syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu minyak dan gas itu, mereka menyatakan bahawa tindakan bursa telah menyebabkan mereka tidak dapat memenuhi tanggungjawab kepada syarikat, pemegang saham mahupun memainkan peranan pengarah bebas yang adil secara menyeluruh dalam pasaran modal Malaysia.
"Mematuhi keperluan yang dikenakan oleh Bursa Malaysia akan meletakkan kedua-dua mereka dalam kedudukan yang tidak boleh dipertahankan, bercanggah dengan tanggungjawab tersebut di atas.
"Ini kerana ia memerlukan, pada pendapat mereka, tindakan kurang matang dan tidak adil disebabkan semakan khas bebas yang tidak lengkap oleh Ernst & Young yang masih berterusan dan dengan itu tidak dapat dimuktamadkan," jelas Serba Dinamik dalam makluman di Bursa Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak puas hati dengan tindakan Bursa Malaysia, pengerusi dan pengarah Serba Dinamik letak jawatan
Jumaat lalu, syarikat itu mengeluarkan kenyataan mempersoalkan mengenai saman asal (OS) daripada Bursa Malaysia kerana belum menerimanya secara rasmi.
“Serba Dinamik mendapati terdapat beberapa persoalan mengenai OS difailkan oleh Bursa Malaysia Securities Bhd.
“Kumpulan ini hanya menyedari mengenai OS menerusi media. Setakat waktu menulis ini (26 November 2021), kami tidak akan mengulas mengenainya kerana kami belum menerima saman tersebut.’’
Secara umumnya, persepsi terhadap Serba Dinamik turun setakuk lagi minggu ini setelah dagangan saham syarikat digantung oleh bursa pada 22 Oktober 2021.
Dalam konteks ini, mesej terbaharu yang dikeluarkan oleh Serba Dinamik ialah syarikat itu mahu yakinkan bahawa ia tidak terpesong daripada matlamat memenuhi sepenuhnya kepentingan para pelabur dan yakin akan menyelesaikan kekusutan dengan baik.
Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan yang dilantik sebagai pengerusi menggantikan Datuk Illyas Pakeer Mohamed mengulangi pendirian syarikat mengenai desakan supaya syarikat mendedahkan dapatan awal special independent review (SIR) oleh firma Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Consulting).
‘’Laporan itu kini masih diusahakan dengan banyak perkara masih belum muktamad dan tergantung.
‘’Maklumat tidak langkap akan mengakibatkan reaksi pasaran yang salah dan tidak perlu,’’ kata Mohamed Farid kepada FocusM.
“Kami mahu dilayan dengan adil sedangkan pihak berkuasa mengarahkan kami melakukan perkara yang tidak adil atau saksama kepada syarikat dan juga pelabur kami. Tidak ada keperluan untuk maklumat melulu sebelum sebarang rumusan boleh dibuat.’’
Semua pihak sememangnya menantikan laporan audit bebas EY Consulting terhadap dapatan bekas juruaudit luaran Serba Dinamik iaitu KPMG PLT bagi mengetahui kesahihan dakwaan KPMG.
Apa yang berlaku sekarang ialah Serba Dinamik turut menyaman EY Consulting (dan juga bursa) supaya tidak mengumumkan dapatannya.
Dalam konteks di atas, Mohamed Farid berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya `jump the gun' kerana tindakan sedemikian mencetuskan reaksi sentak lutut daripada pasaran.
“Apa yang mereka (bursa) mahu lembaga pengarah syarikat lakukan adalah bertentangan dengan tugas fidusiari pengarah bagi memastikan maklumat tepat dan adil kepada orang ramai.
''Baru-baru ini bekas rakan kongsi firma PwC, VU Kumar ada menulis bahawa beliau berasa aneh bahawa sebuah syarikat perunding melakukan tugasan audit khas sedangkan ia sepatutnya dilakukan oleh juruaudit,’’ kata Mohamed Farid.
Ini jelas merujuk kepada keberadaan EY Consulting yang diarahkan oleh bursa melakukan kajian bebas terhadap dapatan KPMG.
Pengerusi Serba Dinamik itu mengulas lanjut, Terma Rujukan (TOR) seharusnya dengan jelas menyatakan bahawa tugasan yang dilaksanakan seiring dengan keperluan-keperluan di bawah Peraturan Penyenaraian Papan Utama Bursa Malaysia (MMLR) supaya boleh mengelak sebarang keraguan tersebut boleh dikemukakan kepada bursa.
Dalam perbualan dengan beberapa warga Serba Dinamik di Shah Alam dan Kuching, mereka mengakui memang resah dengan apa yang berlaku antara syarikat dengan segala yang menimpa mereka.
Gambaran yang diberi di media tertentu, adakalanya melakar cerita seolah-olah Serba Dinamik ini sebuah syarikat palsu atau atas angin.
Hakikatnya Serba Dinamik adalah sebuah syarikat nasional yang memiliki pelaburan di seluruh negara dan menggaji hampir 3,000 anak tempatan. Selain perkhidmatan minyak dan gas, Serba Dinamik telah meneroka bidang teknologi maklumat dengan menjalin kolaborasi dengan gergasi-gergasi digital global. Kerajaan Negeri Sarawak masih merupakan pemegang saham institusi di dalam syarikat. Ini bukan syarikat main-main.
Lembaga Pengarah syarikat juga cukup maklum bahawa mereka perlu mengadakan laporan audit yang ditunggu-tunggu itu. Mereka tahu bahawa lagi lama masa diambil, selama itulah saham tidak dapat didagangkan, pinjaman dana tidak dapat disalurkan dan segala-gala berkaitan terencat sama.
Faktor di atas jelas menunjukkan tidak timbul persoalan Serba Dinamik sengaja melengah-lengahkan permainan seperti didakwa sesetengah pihak kerana ia tidak menguntungkan sama sekali.
Jadi, bersama-samalah kita berharap kekusutan Serba Dinamik ini dapat dirungkai dan diselesai sebelum penghujung tahun ini. Kita mahu syarikat ini memasuki tahun baharu 2022 dengan semangat baharu dan sama-sama membantu memulihkan ekonomi negara.
MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Camelia 2 oleh Ebiet G Ade berulang-ulang kali.
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.