Sersol, Artroniq, Kanger akhiri dagangan aktif, saham Genetec pula kembali jatuh di bawah RM20  | DagangNews Skip to main content

Sersol, Artroniq, Kanger akhiri dagangan aktif, saham Genetec pula kembali jatuh di bawah RM20 

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bursa tempatan hari ini mengakhiri dagangan dengan kurang bertenaga apabila indeks utama, FBM KLCI ditutup hampir tidak berubah. 

 

Petang ini, KLCI hanya menokok 0.79 mata atau 0.05% kepada 1,515.39 mata dengan 3.652 bilion saham diniagakan bernilai RM2.161 bilion.

 

Pada ketika pasaran Asia yang lain terjejas ekoran situasi di China yang menyaksikan penjualan ekuiti secara mendadak dan juga kejatuhan saham syarikat China yang tersenarai di Amerika Syarikat (AS), tetapi ia kurang memberi impak secara langsung kepada pasaran tempatan.

 

Sebaliknya, menurut Reuters, situasi semasa COVID-19 dan ketidaktentuan politik akan terus memberi kesan kepada sentimen pasaran.

 

Malaysia hari ini sekali lagi merekodkan kes tertinggi apabila sebanyak 17,405 kes positif dilaporkan menjadikan kes keseluruhan mencecah 1,061,476.

 

Keseluruhan pasaran bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 509 berbanding 411 manakala 459 kaunter tidak berubah.

 

Antara saham yang mendahului kaunter untung termasuklah BIG Industries Bhd. ditutup 37 sen lebih tinggi kepada RM1.62 manakala Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. menokok 30 sen kepada RM32.68. 

 

Saham Hwa Tai Industries turut ditutup tinggi pada RM1.07 setelah menokok 29.5 sen diikuti Petronas Dagangan Bhd. meningkat 24 sen kepada RM18.50.

 

Sebaliknya, bagi kaunter rugi pula, Genetec Technology Bhd. mendahului dagangan dengan harga sahamnya kembali jatuh di bawah paras RM20. 

 

Petang ini, ia susut 98 sen untuk ditutup kepada RM19.42 dengan 575,800 saham diniagakan.

 

Semalam, harga saham syarikat penyedia sistem perindustrian automasi ini teknologi ini melepasi paras RM20 menjadikan permodalan pasaran syarikat melebihi RM1 bilion buat kali pertama apabila para pelabur melihat ia sebagai syarikat yang akan meraih manfaat dalam pasaran kenderaan elektrik. 

 

Selain Genetec, kaunter rugi turut menyaksikan saham Nestle (Malaysia) Bhd. susut 80 sen kepada RM133 diikuti Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) susut 70 sen kepada RM24.80 dan Vitrox Corp. Bhd. susut 40 sen kepada RM18.56. 

 

Bagi kaunter aktif, saham Sersol Bhd. menokok 0.01 sen kepada 50 sen manakala Artroniq Bhd. naik 0.03 sen kepada  43.5 sen. Tetapi, saham Kanger International Bhd. pula susut 0.01 sen kepada 6 sen. 

 

Untuk pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.2330/2370 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.2310/2350. - DagangNews.com