KOTA KINABALU 4 Jan - Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menjelaskan syarikat itu tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan atau meluluskan kadar tarif elektrik di negeri dibawah bayu ini.
Selepas Rang Undang-undang Bekalan Elektrik 2024 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah pada Rabu, kuasa untuk memutuskan perkara berkaitan tarif elektrik terletak pada Kabinet Negeri Sabah atas syor Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), katanya.
Sebelum rang undang-undang ini diluluskan, perkara mengenai tarif elektrik di Sabah itu diputuskan oleh kerajaan persekutuan dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), katanya.
“Saya lihat masih ramai yang keliru dengan perkara ini sehinggakan pelbagai pihak melepaskan geram terhadap SESB. Sidang DUN Sabah hari ini juga menunjukkan masih ramai wakil rakyat yang tidak memahami perkara ini.
"SESB ialah syarikat utiliti yang terlibat dalam perniagaan membekalkan elektrik kepada pengguna...SESB hanya melaksanakan apa yang telah diluluskan, berdasarkan apa yang telah dikawal dan dikuatkuasakan," kata Wilfred dalam satu kenyataan.
Sidang khas DUN Sabah meluluskan tiga rang undang-undang berkaitan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan tenaga dan elektrik daripada kerajaan persekutuan.
Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, Rang Undang-undang Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2024 dan Rang Undang-undang Bekalan Elektrik 2024 telah diluluskan oleh suara majoriti.
Sehubungan itu, SESB tidak harus dipersalahkan apabila ST, dalam satu kenyataan pada 26 Dis tahun lepas, berkata pelarasan tarif elektrik di Sabah bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini akan dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan kos Tidak Seimbang (Imbalance Cost Pass-Through atau ICPT), katanya.
"Keputusan pelarasan tarif ICPT adalah di luar bidang kuasa SESB," kata Wilfred.
ICPT merujuk kepada mekanisme di bawah Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), yang membenarkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga bahan api global.
Di bawah pelaksanaan terkini ICPT, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan dikenakan sebarang surcaj.
Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj sebanyak 7.21 sen/kWj, sama seperti surcaj bagi pengguna bukan domestik.- DagangNews.com