Datuk Azhar Azizan Harun
Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Semua sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sepanjang tempoh darurat yang bermula 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.
Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hal ini bermakna hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.
"Namun demikian, kedudukan dan tanggungjawab semua Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tetap sama seperti sediakala dan berterusan kerana penggantungan sesi Parlimen bukanlah bererti Parlimen telah dibubarkan.
"Oleh yang demikian, semua aktiviti apa-apa Kaukus atau Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (All Party Parliamentary Group) serta semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan masih boleh diteruskan kecuali aktiviti-aktiviti tersebut dikekang oleh apa-apa Ordinan yang boleh digubal oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa-kuasa Baginda di dalam Perlembagaan Persekutuan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Proklamasi Darurat dijalankan berkuat kuasa mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.
Proklamasi tersebut diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin AI-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaln Billah.
Baginda perkenan untuk tempoh darurat itu dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Baca: Agong perkenan Malaysia isytihar darurat hingga 1 Ogos
Mengulas lanjut, Azhar memberitahu, Parlimen Malaysia juga memperhatikan bahawa satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai antara lainnya oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang akan mengesyorkan kepada Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh darurat akan ditubuhkan.
Melalui Jawatankuasa Bebas itu serta Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas, Parlimen Malaysia akan terus menjalankan fungsinya dalam proses semak dan imbang sebagai institusi unggul badan perundangan negara.
"Parlimen Malaysia akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong," ujar beliau lagi. - DagangNews.com