Sesi penggal baharu bermula 21 Mac 2022: Murid kekal kebenaran tidak pakai seragam | DagangNews Skip to main content

Sesi penggal baharu bermula 21 Mac 2022: Murid kekal kebenaran tidak pakai seragam

Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berbual dengan beberapa pelajar dalam siri lawatan beliau ke sekolah-sekolah.

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan beberapa ketetapan berhubung pengoperasian sekolah apabila sesi akademik penggal pertama 2022/2023 bermula pada 21 Mac ini. 

 

Ketetapan tersebut termasuk membenarkan semua murid hadir ke sekolah dengan memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian. 

 

Pada masa sama, sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin. 

 

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod. 

 

Menurut beliau, ketetapan untuk 10% murid sekolah rendah menjalani ujian saringan kendiri di rumah juga akan diteruskan. 

 

“Pihak kementerian akan membekalkan kit ujian kepada murid dan melaksanakan ujian tersebut di rumah serta melaporkan keputusan kepada pihak sekolah. 

 

“Kita telah laksanakan pendekatan ini pada penggal sebelum ini dan Insya-Allah, kita akan gunakan pendekatan sama apabila penggal persekolahan bermula pada 21 Mac ini,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik ke Facebook hari ini, menurut Utusantv.com

 

Sementara itu, Mohd. Radzi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau keadaan semasa untuk memastikan dan menetapkan tarikh sesuai bagi murid yang masih perlu menjalani penggiliran untuk hadir ke sekolah tanpa penggiliran. 

 

Buat masa ini, kata beliau, pengoperasian sekolah bagi sesi akademik penggal pertama akan datang ini adalah lebih terbuka dengan hampir keseluruhan murid akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran. 

 

“Apa yang penting, apabila sekolah dibuka kelak, kami di KPM amat berharap ibu bapa, murid, guru serta seluruh warga pendidikan dapat bersama-sama memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan dapat dipatuhi dengan baik. 

 

“Sama-samalah kita pastikan supaya sesi persekolahan ini akan dapat terus berlangsung dengan selamat dan teratur serta anak-anak kita dapat terus datang ke sekolah secara bersemuka seperti sebelum ini,” jelas beliau. - DagangNews.com