Seterra anjur dialog penjagaan warga emas Islam pertama di dunia | DagangNews Skip to main content

Seterra anjur dialog penjagaan warga emas Islam pertama di dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan, Seterra yang memfokuskan naik taraf standard penjagaan warga emas berkonsepkan Islam akan mengadakan sesi Dialog Seterra Penjagaan Warga Emas Islam pertama di dunia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 Februari hadapan.

 

Dialog Seterra bertujuan mencari pendekatan inovatif baharu untuk membentuk konsep atau standard penjagaan warga emas berasaskan Islam dengan matlamat menyatukan pendapat mereka yang berpengaruh di dalam ekosistem, termasuk wakil kerajaan, majlis agama persekutuan dan negeri, pengendali industri, institusi kewangan dan pelabur asing dari seluruh dunia.

 

Dialog tersebut turut memupuk kerjasama dan mencetuskan idea revolusi serta mendedahkan kemungkinan baharu dalam membentuk persekitaran model perniagaan yang stabil, mengubah persepsi terhadap penjagaan warga emas berasaskan Islam, mencapai standard dan penanda aras global serta pembiayaan kewangan dan pengurusan kekayaan dalam industri penjagaan warga emas Islam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seterra, Rashidi Yahaya berkata, bermula dari 2025 sehingga 2050, jumlah penduduk warga tua berusia 65 tahun ke atas dijangka akan meningkat dua kali ganda kepada 1.6 bilion di seluruh dunia.

 

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 8.3 juta daripadanya adalah dari negara ini dan Malaysia dijangka akan menjadi ‘negara tua’ menjelang 2045.

 

 

setera
                                                       Rashidi Yahaya

 

“Ini bermakna kita akan dibanjiri dengan penduduk yang beruban dan kita perlu bersedia. Ia merupakan pasaran yang belum diterokai dan mempunyai banyak cabaran. 

 

"Dalam menghadapi keadaan ini, kita memerlukan penyelesaian yang menggunakan teknologi dan kreativiti baharu di samping berlandaskan al-Quran dan hadis," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Rashidi berkata, dialog Seterra akan menjadi pusat pertemuan bagi peserta industri untuk bersidang dan membincangkan mengenai pendekatan inovatif untuk mengoptimumkan kemudahan kesihatan dan kesejahteraan penjagaan warga emas. 

 

Beliau berkata, dialog pertama seumpamanya di dunia itu akan memberi peluang dan akses kepada peserta untuk bertukar-tukar pendapat dan kerjasama yang akan seterusnya merevolusikan konsep penjagaan warga emas pada masa akan datang. 

 

"Kami menjemput semua pihak untuk bersama-sama menyertai Dialog Seterra dalam membentuk satu standard penjagaan warga emas baharu di masa depan,” katanya.

 

Bertemakan 'Perjalanan Mendapatkan Husnul Khatimah', dialog Seterra membariskan penceramah terkenal tempatan dan antarabangsa, termasuk Mufti dan Hakim dari United Kingdom, Sheikh Dr, Sajid Umar; Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Asri Zainul Abidi; Ketua Majlis Tarjih Muhammadiyah, Prof. Dr. Syamsul Annuar dari Indonesia dan lain-lain.

 

Dialog tersebut dianjurkan dengan kerjasama Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS; Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™); Universiti Putra Malaysia serta sokongan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

 

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi peserta dan menyertai usaha membentuk sistem penjagaan warga emas berkonsepkan Islam untuk masa depan yang akan diadakan pada 22 Februari 2022 ini, boleh mendaftar di www.seterradialogue.com. - DagangNews.com