Siab terima kontrak RM94.28 juta bina kilang Mahsuri Food di Seremban | DagangNews Skip to main content

Siab terima kontrak RM94.28 juta bina kilang Mahsuri Food di Seremban

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Siab Holdings Berhad menerima kontrak bernilai RM94.28 juta untuk membina kilang pemprosesan makanan Mahsuri Food Sdn Bhd di Seremban, Negeri Sembilan.

 

Menurut makluman Siab kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya, Siab (M) Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Mahsuri Food bagi pembinaan kilang berkenaan di Kawasan Perindustrian Teknologi 2, Bandar Baru Enstek.

 

Projek tersebut terdiri daripada satu blok bangunan kilang empat tingkat dan satu kawasan penapaian (silaj) dan seunit binaan silaj soya dengan kemudahan utiliti.

 

Syarikat pembinaan itu berkata, projek tersebut akan mengambil masa 13 bulan bermula pada 14 Februari 2024.

 

“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan sepanjang tempoh projek.

 

“LOA tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan struktur pegangan saham syarikat,” katanya.

 

Saham Siab ditutup rendah 0.5 sen atau 3.9% pada 12.5 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM73.7 juta. - DagangNews.com