KUALA LUMPUR 13 Jan - Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) akan terus mengembangkan ekosistem digital Selangor dalam usaha memacu kemajuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain mengurangkan jurang digital untuk perniagaan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping berkata, kekurangan kemahiran digital dalam kalangan PKS dari segi pemasan dan jualan selain pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat akan menjadi penghalang kepada pengembangan perniagaan.
Berdasarkan keadaan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia, sebanyak 75% penduduk memiliki kemahiran asas ICT dan hanya 15% dilengkapi dengan kemahiran ICT lanjutan.
"Menyedari kekurangan bakat digital sebagai pemacu utama dalam mengguna pakai teknologi tanpa sempadan, Sidec akan sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk menjadikan Selangor sebagai hab digital ASEAN.
"Sidec akan terus menambah baik programnya, termasuk Selangor Online 100 dan Brands 100, Kelas E-Dagang, Masterclass dan Selangor Accelerator Programme (SAP) yang memberi fokus kepada industri fesyen dan permainan video," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kai Ping berkata, PKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara dengan 98.5% perniagaan terdiri daripada PKS dan Selangor mencatakan jumlah tertinggi dengan 19.8%.
Beliau berkata, walaupun mewakili segmen ekonomi yang besar, sebahagian besar PKS masih ketinggalan dalam perlumbaan ke arah ekonomi digital kerana pengetahuan mereka yang rendah dalam bidang itu.
“Berbanding Filipina, Vietnam dan Singapura, kadar penggunaan digital di sini sangat perlahan.
“Sebagai agensi kerajaan yang diberi mandat, Sidec komited untuk mencipta ekosistem digital yang inovatif yang akan memberi inspirasi kepada bakat baharu dalam pendigitalan yang akan membantu membina syarikat teknologi serantau berdaya saing yang akhirnya mendorong Selangor menjadi hab digital Asia Tenggara,” katanya.
Baru-baru ini, Sidec juga menganjurkan edisi keenam Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor bagi membentuk rangka kerja dan penyelesaian untuk masa depan bandar pintar dan ekonomi digital rantau ini.
Bertemakan Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi, ia merupakan konvensyen hibrid pertama dan menyaksikan penyertaan peneraju industri, PKS, ahli akademik dan wakil daripada sektor kerajaan dan swasta, meliputi topik Fintech, Agritech, Travel Tech, Pemasaran Digital, dan Pendigitalan PKS. - DagangNews.com