Siemens bekerjasama dengan kerajaan Selangor dan STDC bangunkan bakat IR4.0 | DagangNews Skip to main content

Siemens bekerjasama dengan kerajaan Selangor dan STDC bangunkan bakat IR4.0

SHAH ALAM 1 Nov – Siemens menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) bersama kerajaan Selangor (SUK Selangor) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) untuk mewujudkan satu ekosistem latihan yang menyeluruh bagi kemahiran-kemahiran Industri 4.0 sebagai satu usaha berterusan dalam menangani jurang bakat di Malaysia.

 

Kerjasama ini dilaksanakan bagi menyokong Inisiatif Kemahiran Teknikal dan program Ikthtisas SMART Selangor (IKTISASS) dan MoU tersebut merangkumi kerjasama dalam bidang-bidang berikut:

 

  • Mengukuhkan pemindahan pengetahuan untuk meningkatkan keupayaan pensyarah-pensyarah dalam aspek teknologi dan penyelesaian Siemens - menerusi latihan lanjut 14 orang pembimbing yang sebelum ini telah melengkapkan program "Train the Trainer".
     
  • Meneroka peluang-peluang untuk mengembangkan, menyokong dan memperkayakan latihan dan pembangunan modul bagi syarikat yang turut serta dalam Industri 4.0 - menyediakan latihan peningkatan kemahiran, latihan kemahiran semula dan perundingan dengan pemilik perniagaan, serta mempromosikan teknologi terkini dan topik-topik pendigitalan kepada PKS dan syarikat multinasional (MNC). Kerajaan Selangor berhasrat untuk mempromosikan program IKTISASS kepada syarikat-syarikat sasaran Industri 4.0 untuk melengkapkan tenaga kerja mereka dengan kemahiran yang relevan.
     
  • Meneroka pembentukan sebuah makmal latihan Siemens - untuk membekalkan latihan yang seragam dan berstruktur berdasarkan kurikulum daripada cabang latihan Siemens iaitu SITRAIN - Digital Industry Academy.
     
  • Meneroka penglibatan STDC sebagai rakan latihan Siemens - dengan matlamat untuk melatih 1,000 orang peserta dalam masa setahun.

 

Siemens dipilih sebagai rakan kongsi latihan oleh SUK Selangor dan STDC kerana beberapa sebab:

  • Ia merupakan peneraju dalam transformasi digital dan Industri 4.0;
  • Ia mempunyai program latihan sedia ada yang mantap daripada SITRAIN - Digital Industry Academy;
  • Ia menyediakan modul latihan praktikal dalam pelbagai tahap kepakaran yang berbeza;
  • Ia mempunyai tapak yang luas dan kukuh di ASEAN dan Malaysia.

 

Kerjasama ini bermatlamat untuk melengkapi usaha STDC dalam menumpukan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)Tahap 1 hingga 4 di kampus utama di Kuala Selangor, sementara STDC Shah Alam akan menumpukan kepada latihan Tahap 5 hingga Tahap 9, di samping latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran PKS dan MNC di seluruh negara.

 

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan daya saing PKS Selangor dalam industri pembuatan dengan mentransformasi aspek buruh manual kepada automasi sekali gus menjadi pemangkin kepada pendigitalan.

 

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Selangor beriltizam untuk meneruskan dan mengukuhkan IKTISASS.

 

Menjelang 2030 ujar beliau, Selangor berikrar untuk menyumbang sebanyak 30% daripada KDNK negara berbanding pada kadar 23% pada masa sekarang.

 

‘’Kami juga berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terbaik di rantau ini yang boleh menyumbangkan 60% daripada peluang perniagaan dengan sokongan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan profesional daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan di Malaysia.”

 

’’Pelaksanaan kemudahan latihan kemahiran IR4.0 dengan kerjasama peneraju industri di bawah inisiatif IKTISASS adalah salah satu daripada teras utama agenda Kerajaan Selangor dalam pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan yang berupaya memenuhi keperluan industri dan mengekalkan pelaburan di Selangor.

 

‘’Kerjasama dengan Siemens ini adalah berdasarkan prestasi lampau dan sedia ada Siemen dalam menyediakan pelbagai program latihan yang sejajar dengan hasrat kerajaan negeri,katanya di sini hari ini.

 

 

Adam Yee
Presiden dan CEO Siemens Malaysia, Adam Yee

 

 

Sementara itu, Presiden dan CEO Siemens Malaysia, Adam Yee berkata, kerjasama strategik ini akan menyepadukan dan menambah baik pembangunan pendidikan dan kemahiran untuk bidang industri yang relevan.

 

Beliau berkata, wabak COVID-19 menyerlahkan kepentingan untuk menerima guna kemahiran-kemahiran Industri 4.0, dan keperluan untuk membentuk satu ekosistem dan infrastruktur yang dinamik bagi ekonomi digital Malaysia sewaktu dunia kini bergerak ke arah pendigitalan.

 

‘’Bagi tujuan ini, kita perlu menyediakan lebih banyak latihan semula dan latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Projek ini akan bermula di STDC Shah Alam menjelang Januari 2022, sebelum diperkenalkan di negeri-negeri lain. – DagangNews.com